arena

Tugas lebih berat nanti Adam

Oleh Zulfaizan Mansor

KERETA kebal skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Adam Nor Azlin mengakui dia memikul tugas lebih berat selepas bertukar posisi daripada serangan ke bahagian pertahanan.

Dia yang bakal membuat penampilan bersama pasukan baharu, Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini berkata, hanya sedikit kesilapan saja di bahagian pertahanan boleh mengundang bahaya kepada pasukan.

Katanya, fokus pada tahap terbaik diperlukan pertahanan bagi memastikan gawang sendiri tidak dibolosi lawan hingga boleh menyebabkan pasukan berdepan risiko kekalahan.

“Saya tidak boleh katakan pertukaran posisi yang saya buat ini berbaloi kerana dalam bola sepak, pertahanan adalah paling penting, jadi tanggungjawab itu lebih berat berbanding penyerang.

“Saya perlu kekalkan momentum serta tingkatkan prestasi dari semasa ke semasa untuk memastikan saya berada dalam radar pasukan di Malaysia,” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan ‘lesen kereta kebal’ diterima Adam daripada jurulatih Selangor, P Maniam pada musim lalu dilihat membawa tuah kepada pemain berusia 22 tahun itu selepas namanya mula melonjak termasuk bersama skuad negara.

Malah, dia turut dianggap antara tonggak penting skuad B-23 terutama pada saingan Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun lalu dan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), awal bulan ini.

Adam bagaimanapun enggan hanya dirinya dilabel sebagai ‘hero’ dalam skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee, sebaliknya menganggap setiap kejayaan adalah hasil kerja berpasukan.

“Saya tidak menganggap saya adalah tonggak penting, bagi saya semua pemain adalah penting dalam kejayaan skuad B-23 sepanjang Kejohanan AFC mahupun Sukan SEA.

“Apa yang saya praktikkan adalah latihan tambahan kerana semua pemain memerlukan usaha sendiri bagi memperbaiki segala kelemahan,” katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 3:18pm
d