arena

Tak sabar tunggu Mahali

Oleh Syafiq Aznan

PKNS FC akan menambah kekuatan pasukannya menerusi kemasukan seorang lagi pemain tempatan berpengalaman, Mahali Jasuli yang bakal diperolehi secara pinjaman daripada pasukan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perkembangan itu disahkan pengurus pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abd Rashid yang menyatakan pihaknya mengalu-alukan kehadiran pemain berpengalaman yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan itu menyertai skuad Semut Merah, sekaligus dapat membantu mereka menjadi pencabar kejuaraan musim ini.

“Kemasukan Mahali pastinya akan menguatkan lagi pasukan PKNS FC kerana kita tahu dia memiliki kualiti sebagai pemain yang baik dan juga pengalaman luasnya dalam kancah bola sepak tempatan.

“Bagaimanapun buat masa ini, PKNS FC belum lagi memuktamadkan terma peribadi dengan Mahali, namun kami optimis urusan perpindahan ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dengan kebolehan beraksi di posisi pertahanan dan juga tengah, sudah pasti kemasukan bekas pemain The Red Giants ini mampu memberi lebih pilihan kepada pengendali PKNS FC, Datuk K Rajagobal untuk merencana taktikal serta pendekatan yang akan digunakan pada musim 2018.

Terdahulu, laman web JOHOR Southern Tigers malam tadi turut mengumumkan pasukan itu bersetuju untuk menghantar pemain berusia 28 tahun berkenaan ke PKNS FC sebagai pemain pinjaman selama setahun.

Bekas pemain Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu pernah beraksi bersama pasukan Harimau Muda dan kembali menyertai negeri kelahirannya, Selangor sebelum disambar JDT bermula pada musim 2014.

Selama empat musim menyertai pasukan terbabit, Mahali berjaya merangkul empat kejuaraan Liga Super, dua Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan satu Piala FA selain turut membantu pasukan itu mencipta sejarah menjadi pasukan Asia Tenggara pertama memenangi Piala AFC pada 2015.

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 7:01pm
d