arena

'Bodoh kalau terbabit rasuah'

Oleh Syafiq Aznan

“KALAU ada lagi yang terbabit dengan rasuah, mereka sememangnya bodoh,” kata Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan.

Tegas Sathianathan, pihaknya sentiasa memandang serius gejala rasuah yang menghantui kancah bola sepak tempatan dan mengharapkan pihak pengurusan pasukan supaya sentiasa profesional khususnya membabitkan pembayaran gaji, bagi mengelak pemain daripada bergelumang dalam kegiatan rasuah serta bookie.

Katanya, masalah tunggakan gaji yang sering melanda pasukan yang tidak ternama dilihat menjadi punca pemain terjebak dengan gelaja rasuah dan memberi ruang kepada bookie untuk mengambil kesempatan.

“Selalunya kita dengar masalah rasuah membabitkan pasukan yang kecil kerana kebanyakan mereka terbeban dengan tunggakan gaji. Jadi, pihak pengurusan pasukan patut mengambil langkah proaktif supaya situasi ini tidak menjadi pemangkin kepada pemain untuk terbabit dengan bookie.

“Kita jarang mendengar pasukan besar terjebak dengan masalah ini tetapi kalau ada juga yang terbabit, itu bermakna mereka begitu bodoh. Mereka sudah menerima gaji yang lumayan, jadi buat apa mahu menerima rasuah lagi?

“Saya pernah maklumkan sebelum ini dan sekali lagi saya memberi amaran bahawa PJBM tidak akan berkompromi dengan jurulatih yang terbabit dengan kegiatan rasuah. Kita sudah menggantung seumur hidup seorang jurulatih yang didapati terbabit dengan rasuah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam masa sama, Sathianathan yang juga pengendali pasukan FELDA United menyokong apa sahaja tindakan yang akan diambil oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai usaha untuk membanteras gejala rasuah dalam bola sepak.

“Beliau terbabit dalam pengurusan bola sepak, jadi beliau sedar betapa masalah rasuah ini sememangnya satu isu yang begitu serius. Jadi saya optimis dengan ketegasan ini, masalah rasuah dapat diatasi,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan tidak akan melepaskan mana-mana pihak yang didapati terbabit dengan rasuah dalam bola sepak.

“Sebagai menteri, saya akan memastikan tiada seorang pun akan terlepas daripada siasatan dan dakwaan pihak polis. Bukan saja pemain dan pegawai pasukan, malah kita tahu bahawa ada dalam pengadil yang turut bersekongkol dengan bookie.

“Ini bukan tuduhan dan pengadil juga tidak akan terlepas jika ada bukti mereka menerima rasuah. Ini amaran Zahid Hamidi,” katanya pada majlis pelancaran pasukan PDRM 2018 di Putrajaya, malam tadi.

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 7:04pm
d