arena

Dominic, Syamer tak sabar ke Liga Portugal

Oleh Ooi Kin Fai

PEMAIN Johor Darul Ta’zim (JDT), Dominic Tan dan Syamer Kutty Abba tidak sabar menampilkan aksi terbaik mereka dalam Liga Portugal.

Kedua-dua pemain itu akan menghabiskan satu musim secara pinjaman dengan pasukan divisyen tiga, Vilaverdense FC.

Dominic menyerlah ketika Malaysia mara ke suku akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di China, baru-baru ini manakala Syamer kerap bermain dalam skuad senior dan remaja sejak tahun lalu.

“Tahap bola sepak di Portugal sangat bagus dan saya harap dapat meraih pengalaman berguna di sana. Walaupun ia hanya kelab divisyen tiga, saya percaya ia akan menjadi kompetitif dan mencabar,” kata Dominic sebelum dia dan Syamer berlepas ke Portugal, semalam.

“Saya perlu bermula dari kosong apabila menyertai kelab itu. Saya tidak meletakkan sasaran untuk diri saya tetapi akan melakukan yang terbaik dan menerima semua cabaran.”

Perjanjian pinjaman itu akan menguntungkan kedua-dua pemain kerana mereka mungkin jarang dapat bermain bersama JDT pada musim ini.

“Syamer dan saya akan saling membantu untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak di Portugal. Kami harap akan kembali ke JDT dengan lebih bagus apabila tamat perjanjian pinjaman ini,” katanya.

Nazmi Faiz Mansor adalah pemain Malaysia pertama menyertai kelab Portugal. Pada 2012, dia menandatangani perjanjian tiga tahun bagi menyertai Liga Primeira, Beira Mar sebelum pulang hanya selepas enam bulan.

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 7:41pm
d