arena

Bukan pencen, tapi pemain 'otai'

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Pertahanan kanan Marcerra Kuantan FA, Abdul Ghani Rahman menafikan pemain ‘pencen’ membarisi skuad itu, sebaliknya berkeyakinan barisan pemain dalam pasukan kendalian Ismail Zakaria adalah pemain berkualiti.

Bekas pemain PKNS FC musim lalu berusia 33 tahun itu juga tidak bersetuju jika dikatakan kariernya sudah berada di penghujung kerana baginya dia masih mampu memperagakan aksi terbaik bersama pasukan baharunya itu.

“Saya tidak setuju jika ada mengatakan skuad kami dibarisi pemain tidak berkualiti kerana apa yang saya lihat pemain berusia ini masih bagus dan mampu mempamerkan aksi bertenaga buat pasukan.”

“Barisan pemain yang membarisi skuad ini juga mempunyai pengalaman luas dan sudah pasti aksi terbaik bakal disajikan mereka dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bakal bermula 2 Februari ini,” kata Abdul Ghani ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, dekat sini selepas aksi persahabatan dengan Terengganu FC I.

Dalam aksi pramusim itu, skuad berwajah baharu yang akan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini tewas tipis 2-3 kepada TFC I yang menurunkan kesebelasan utamanya.

Antara pemain yang membarisi skuad kendalian Ismail Zakaria dan pembantunya, Rusdi Suparman itu termasuklah bekas penyerang kebangsaan Abdul Hadi Yahaya, Abdul Manaf Mamat, Helmi Rameli, Mohd Daudsu Jamaluddin dan Ahmad Zarul Fitri.

Selain pemain tempatan, pemilik kelab berkenaan, Datuk Seri Dr Mohamad Feardaus Khairuddin juga mengikat empat pemain import berpengalaman iaitu bekas pemain Johor Darul Ta’zim dan PDRM, Andre Francisco Williams dari (Brazil), bekas pertahanan Melaka United, Elexandru Tudose (Romania), Murilo De Almeida (Timor Leste) dan Zarko Korac (Montenegro).

Mengulas lanjut, pemain yang memulakan kariernya bersama skuad MK Land Selangor pada 2005 itu mengakui keinginan untuk menimba ilmu dengan Ismail membuatkan dia memilih pasukan itu biarpun ada menerima beberapa tawaran daripada kelab lain.

“Ada lagi pasukan yang mahukan khidmat saya, tapi keyakinan terhadap jurulatih itu terutama cara dia latih pasukan membuatkan kami rasa mampu mencapai kejayaan sekali gus memilih skuad itu,” kata pemain kelahiran Selangor itu.

Disiarkan pada: January 28, 2018 @ 4:19pm
d