arena

Aura Supermokh perkasa Selangor [METRO TV]

Oleh Syafiq Aznan

JUARA Piala Malaysia 33 kali, Selangor memperkenalkan jersi baharu yang akan digunakan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Jersi itu dihasilkan pengilang pakaian sukan terkenal, Lotto Sport Italia yang dibawa secara eksklusif oleh kedai sukan terbesar di negara ini, Al-Ikhsan Sdn Bhd.

Jersi berkenaan didatangkan dalam tiga warna iaitu merah berjalur kuning untuk jersi di laman sendiri, merah berjalur biru untuk jersi di tempat lawan sementara kuning sebagai jersi ketiga.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Al-Ikhsan, jersi untuk skuad kendalian P Maniam musim ini diinspirasikan daripada legenda pasukan itu, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari yang sememangnya memiliki reputasi tiada bandingan dalam kancah bola sepak tempatan.

“Reka bentuk jersi mempamerkan dua jalur menyerupai nombor sebelas (11) kerana ia adalah jumlah Piala Malaysia dimenangi oleh Selangor bersama penggempur berbisa itu (Mokhtar).

“Jalur hijau lebih kecil pula mewakili warna jersi kegemaran Mokhtar yang dipakai pada tahun 1980-an,” kata kenyataan itu, hari ini.

Majlis pelancaran jersi itu berlangsung di Plaza Alam Sentral dan disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal.

Turut memeriahkan majlis ialah penyokong setia skuad The Red Giants yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan pelancaran jersi baharu pasukan kesayangan mereka itu.

Selain pelancaran jersi, semua pemain skuad Merah Kuning juga diperkenalkan kepada penyokong dan memperagakan jersi baharu berkenaan.

Disiarkan pada: January 28, 2018 @ 4:55pm
d