arena

Dah ada 'bau-bau' stadium Merah Kuning

Oleh Syafiq Aznan

SELEPAS terpaksa ‘mengemis’ bagi mendapatkan gelanggang rasmi untuk kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memasang impian memiliki stadium sendiri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Impian itu disuarakan Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal yang memberi bayangan betapa pasukan The Red Giants berkemampuan menjadi seperti pasukan di negara Thailand yang turut memiliki stadium sendiri untuk melangsungkan perlawanan.

“Impian saya adalah supaya Selangor ada stadium sendiri pada masa akan datang dan berdasarkan pandangan saya, ia bukanlah perkara yang mustahil. Tidak perlu stadium yang besar kerana cukuplah stadium yang boleh melangsungkan perlawanan bola sepak.

“Kita sudah membuktikan apabila berjaya berdikari untuk menguruskan pasukan, jadi jika ada lebih banyak penaja dan syarikat korporat menyertai kami, sudah tentu impian ini akan dapat direalisasikan.

“Kita juga dalam proses untuk mengukuhkan lagi pengurusan dan ada banyak lagi penaja yang akan masuk, jadi kita sebenarnya sudah berada pada landasan yang betul,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jersi Pasukan Selangor di Plaza Alam Sentral, hari ini.

Jersi skuad The Red Giants musim 2018 itu diinspirasikan daripada legenda pasukan berkenaan, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dengan dua jalur menyerupai nombor sebelas (11) dan jalur hijau lebih kecil mewakili warna jersi kegemaran penggempur berbisa itu.

Tatkala musim Liga M 2018 berbaki enam hari lagi, Selangor berdepan kesukaran untuk memiliki gelanggang rasmi sehingga memaksa mereka beraksi pada sebelah petang apabila sekadar mendapat kelulusan daripada Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Bagaimanapun, FAS sudah menghantar permohonan untuk menggunakan Stadium Cheras bagi membolehkan mereka beraksi pada sebelah malam, namun perlu menunggu kelulusan daripada Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dengan keputusan dijangka diketahui esok.

Sebelum ini, FAS tidak mendapat kebenaran untuk menggunakan Stadium Shah Alam susulan masalah dengan kerajaan negeri dan permohonan untuk menggunakan stadium lain termasuklah Stadium Nasional Bukit Jalil turut ditolak.

Disiarkan pada: January 28, 2018 @ 6:27pm
d