arena

Izad tak rela kempunan Sukan Komanwel

Oleh Saiful Affendy Sapran

TONGGAK pertahanan skuad hoki negara, Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin berharap mampu melawan masa untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut kanan sekali gus dapat beraksi pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia April depan.

Pemain Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) itu berdepan kecederaan Posterior Cruciate Ligament (PCL) di lutut kanan ketika saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) bertemu Maybank yang menyaksikannya terpaksa berehat kira-kira dua bulan.

Insiden malang itu menyaksikan pemain berusia 25 tahun berkenaan terlepas beraksi di Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Mac depan dan mungkin juga Sukan Komanwel.

“Saya tak pernah beraksi di Sukan Komanwel. Sebab itu saya harap dapat segera pulih sepenuhnya dan terpilih beraksi di Gold Coast.

“Buat masa ini saya banyak melakukan latihan ringan bagi mempercepatkan proses pemulihan,” katanya.

Izad bagaimanapun berkata, sekiranya gagal terpilih ke Gold Coast, dia berharap mampu menebus kekecewaan itu dengan merebut tempat dalam skuad ke Sukan Asia di Jakarta dan Palembang pada Ogos serta Piala Dunia di Bhubaneswar, India Disember depan.

“Saya tak mahu terlepas beraksi di kedua-dua kejohanan ini kerana Sukan Asia penting untuk mencari tiket ke Sukan Olimpik 2020 manakala Piala Dunia adalah kejohanan berprestij,” katanya.

Izad sebenarnya baru saja berehat panjang selama tiga bulan berikutan kecederaan betis selepas berakhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu sehingga menyaksikannya terlepas beraksi di Piala Asia di Dhaka, Bangladesh.

“Memang saya akui kecewa dengan situasi sekarang lebih-lebih lagi kecederaan baru ini kerana ia boleh membawa risiko lebih besar. Tapi saya perlu berusaha untuk pulih dan kembali semula beraksi,” katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2018 @ 6:31pm
d