arena

Marcote resah aksi Sumbangsih

Oleh Izzali Ismail

KEDAH terpaksa melupakan hasrat untuk menyenaraikan empat pemain import pada aksi Piala Sumbangsih bertemu juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Larkin, 3 Februari ini kerana dua daripadanya masih belum pulih dari kecederaan.

Menurut ketua jurulatih Kedah, Ramon Marcote, pemain pertahanan kerakyatan Filipina, Alvaro Silva megalami kecederaan kaki sewaktu menentang kelab Thailand, Suphanburi FC pada 24 Januari lalu dan seorang lagi pemain import kelahiran Brazil Sandro Da Silva yang juga belum pulih dari kecederaan.

Ketiadaan mereka meresahkan Marcote kerana dua tonggak import itu berada dalam perancangan penting pada perlawanan di Stadium Larkin selain dua import lain iaitu Pablo Pallares dan Liridon Krasniqi.

“Kita besar kemungkinan terpaksa melupakan dua import berkenaan kerana masih belum pulih dan ini memaksa saya melakukan beberapa perubahan dan mencari pengganti yang mampu menggalas tugas di posisi berkenaan.”

“Inilah bola sepak, apa saja boleh berlaku. Kami terpaksa berhadapan dengan masalah kecederaan pemain yang di luar jangkaan.”

Sementara itu penyerang, Pablo Pallares yang dikeluarkan pada babak pertama perlawanan pramusim menentang Suphanburi FC akibat kecederaan dikhabarkan tidak serius.

“Kecederaan Pallares pada perlawanan itu tidak serius dan saya berharap dia bersedia dan mampu beraksi pada perlawanan pertama kami nanti,” kata Marcote.

Disiarkan pada: January 29, 2018 @ 1:48pm
d