arena

Tindakan tepat rancang bina stadium Selangor

Oleh Syafiq Aznan

KELAB Penyokong Anak Selangor (ASFC) menyifatkan impian Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk memiliki stadium sendiri dalam tempoh lima tahun akan datang sebagai keputusan yang tepat pada masanya.

Presidennya, Mohd Faizal Wahid berkata, pemilikan stadium sendiri untuk skuad Merah Kuning itu juga dilihat selaras dengan dasar penswastaan pasukan sekaligus membolehkan Selangor tidak lagi perlu ‘menumpang’ stadium yang ketika ini berada di bawah pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“ASFC meletakkan sepenuh sokongan kepada cadangan itu dan sememangnya ia adalah perkara yang begitu dinanti-nantikan oleh semua penyokong Selangor.

“Sebagai pasukan yang terkenal dengan reputasi tinggi dan sudah berpuluh tahun bertapak dalam kancah bola sepak tempatan, Selangor sememangnya perlu memiliki stadium sendiri dan saya kira ini adalah detik terbaik untuk merealisasikan hasrat terbabit.

“Stadium juga dilihat sebagai mercu tanda sesuatu pasukan, jadi saya optimis cadangan ini akan dapat membantu mengembalikan semula kegemilangan Selangor selaku kuasa besar bola sepak negara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, selepas terpaksa ‘mengemis’ bagi mendapatkan gelanggang rasmi untuk kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini, FAS memasang impian memiliki stadium sendiri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Impian itu disuarakan Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal yang memberi bayangan pasukan The Red Giants berkemampuan menjadi seperti pasukan di negara Thailand yang turut memiliki stadium sendiri untuk melangsungkan perlawanan.

“Impian saya adalah supaya Selangor ada stadium sendiri pada masa akan datang dan berdasarkan pandangan saya, ia bukanlah perkara yang mustahil.

“Tidak perlu stadium yang besar kerana cukuplah stadium yang boleh melangsungkan perlawanan bola sepak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jersi Pasukan Selangor di Plaza Alam Sentral, semalam.

Disiarkan pada: January 29, 2018 @ 4:13pm
d