arena

Reds wajib perkemas benteng

Oleh AFP

Liverpool: Joel Matip mahu Liverpool pantas mengatasi kelemahan di bahagian pertahanan menjelang kunjungan ke Huddersfield Town dalam aksi Liga Perdana Inggeris, esok.

Pengurus The Reds, Jurgen Klopp pula mengaku kekalahan mengejut di tangan West Bromwich Albion dalam pusingan keempat Piala FA di Anfield kelmarin berpunca daripada kesilapan pemainnya sekali gus mengakhiri rekod kebal Liverpool di tempat sendiri.

Kekalahan itu menyusul selepas Liverpool ditewaskan kelab bawahan, Swansea City di tempat lawan.

Selepas dua minggu berpesta menamatkan rekod tanpa kalah pendahulu Manchester City, anak buah Klopp kini terpaksa menerima hakikat mereka memerlukan tonik pemulih semangat.

Matip bertanggungjawab ke atas salah satu gol West Brom dan pemain pertahanan itu tidak rela kesilapan berulang lagi ketika menentang Huddersfield jika mahu kekal di kelompok empat teratas dan layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Kami mendahului lawan, taktikal kami OK tetapi pertahanan ada masalah,” kata Matip kepada Liverpoolfc.com.

“Kesilapan seperti yang saya lakukan boleh membunuh setiap pasukan. Ia tak boleh dibiarkan berlaku. Saya perlu mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya,” katanya.

“Pada separuh masa pertama kami ketinggalan tiga gol. Sukar untuk kami bangkit. Kami perlu lakukan apa saja untuk mencapai kemenangan.”

Huddersfield tidak berada dalam zon penyingkiran tetapi hanya dua mata di atas tiga pasukan terbawah selepas kemarau kemenangan dalam enam perlawanan terakhir liga.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 4:13am
d