arena

Day raih gelaran PGA ke-11

Oleh Reuters

LA JOLLA, California: Pemain golf Australia, Jason Day menang buat kali pertama dalam tempoh 20 bulan selepas menewaskan Alex Noren menerusi penentuan playoff pada Terbuka Farmers Insurance awal pagi tadi.

Ia kejayaan Jelajah PGA ke-11 buat Day yang melonjakkannya dari tangga ke-14 ke tangga ke-10 dunia.

Pemain berusia 30 tahun itu tidak pernah memenangi sebarang kejohanan sejak menjulang trofi Kejuaraan Pemain 2016 ketika dia berada di ranking nombor satu dunia.

“Sudah lama (tidak menang) jadi saya gembira dapat memulakan tahun ini dengan hebat,” kata Day yang turut cemerlang di sini tiga tahun lalu.

“Saya hampir menjulang kejuaraan pada Terbuka Australia tahun lalu namun gagal tapi memang seronok dapat menamatkan cabaran di sini.”

Day dan Noren bersaing sengit dalam pertarungan lima lubang semalam sebelum penentuan playoff ditangguh akibat cuaca gelap.

Ia hanya memerlukan satu lubang tambahan untuk aksi seterusnya selepas pukulan kedua Noren jatuh ke kolam.

Day, yang pukulannya jatuh ke kawasan rough, membuat pukulan ketiga yang membantunya mencatat birdie, sekali gus meranapkan harapan Noren. Selepas mengambil pukulan penalti, Noren perlu mencatat birdie namun cabaran itu terlalu sukar disempurnakannya.

Sementara itu Day, kini meletakkan sasaran untuk kembali ke ranking nombor satu dunia. Dia mendominasi sukan itu selama 10 bulan bermula Ogos 2015 hingga Mei 2016, memenangi tujuh kejohanan, termasuk gelaran utama pertamanya iaitu Kejuaraan PGA.

Bagaimanapun kebimbangan terhadap keluarga apabila ibunya menderita kanser dan kecederaan belakang berulang menjejaskan kariernya.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 11:34am
d