arena

Cahill 'kuda tua' berharga

Oleh AFP

SYDNEY: Pemain veteran Socceroo, Tim Cahill menyertai semula bekas kelab Millwall dengan kontrak jangka pendek, menurut kelab Liga Kejuaraan Inggeris itu ketika penyerang itu mahu mencari lebih banyak masa bermain bagi memastikan tempat dalam skuad Piala Dunia.

Cahill, yang meninggalkan Melbourne City bulan lalu selepas jarang tampil dalam kesebelasan utama sejak menyertai kelab Liga-A itu pada 2016, memainkan peranan penting membantu Australia layak ke Russia 2018.

“Saya amat gembira. Saya mempunyai karier hebat sebagai pemain, tapi untuk hadir di sini pada peringkat ini dalam karier saya, dengan mengintai tempat ke Piala Dunia, ia satu suasana profesional,” kata Cahill kepada laman web Millwall, semalam.

“Romantiknya cerita ini pasti tidak saya lupakan. Saya sering menyatakan jika saya kembali ke England, saya akan pulang ke rumah.”

Cahill adalah penjaring gol paling prolifik Australia di peringkat antarabangsa dengan 50 gol dan kini mengintai peluang untuk mewakili negaranya buat kali keempat berturut-turut pada Piala Dunia Jun-Julai depan.

Pemain berusia 38 tahun itu akan menyertai skuad Millwall bagi baki musim 2017-18, yang berakhir pada awal Mei sebelum aksi playoff.

Cahill bermain kali pertama bersama Millwall pada 1998 selepas meninggalkan Australia untuk meneruskan karier dalam bola sepak Inggeris.

Dia tampil dalam lebih 250 perlawanan bersama Lions sebelum berpindah pada 2004 menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, Everton. Dia kemudian bermain dengan New York Red Bulls, Shanghai Shenhua dan Hangzhou Greentown.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 12:49pm
d