arena

Bye-bye Tomic

Oleh Reuters

SYDNEY: Pemain tenis kontroversi Australia, Bernard Tomic tidak mungkin akan beraksi mewakili negaranya pada Piala Davis, menurut kapten Lleyton Hewitt.

Australia menanti kunjungan Jerman pada pusingan pertama kejohanan berpasukan itu hujung minggu ini di Brisbane, namun Tomic tidak tersenarai berikutan kemerosotan prestasi yang menyaksikan rankingnya jatuh ke tangga 168 dunia.

Ranking tertingginya adalah di tangga ke-17, dua tahun lalu.

“Amat diragui,” kata Hewitt kepada media hari ini ketika ditanya sama ada Tomic akan kembali menyertai pasukan satu hari nanti.

“Bagi saya, dia melakukan kesalahan dan terlalu jauh untuknya kembali. Dia menggali lubang besar untuk dirinya dan pastinya sukar untuk keluar.”

Tomic, 25, gagal mara ke undian utama Terbuka Australia selepas tersingkir pada pusingan akhir kelayakan.

Komennya selepas tersingkir pada pusingan kelayakan mencetuskan lebih banyak kritikan.

“Saya hanya mengira wang, itulah yang saya lakukan. Saya mengira wang berjuta-juta milik saya,” kata pemain yang pernah layak suku akhir Wimbledon ketika ditanya apa yang akan dilakukannya selepas gagal ke undian utama di Melbourne Park.

“Buatlah apa yang saya buat (di gelanggang). Selamat tinggal.”

Hewitt mengakui kemarahan itu tidak akan membantunya.

“Saya tidak tahu jika dia akan bermain kembali. Jika dia masih mahu bermain pada Terbuka Australia dan cuba untuk melayakkan diri, baguslah jika dia berbuat demikian,” kata Hewitt yang sebelum ini menjadi penyokong setia Tomic. - Reuters

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 3:08pm
d