arena

Selangor terus 'ternak' bakat muda

Oleh Syafiq Aznan

JUARA Piala Malaysia 33 kali, Selangor berhasrat meneruskan ‘tanggungjawab sosial korporat’ untuk membekalkan pemain muda yang berkualiti bagi membarisi skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal melontarkan janji itu sambil mengakui skuad The Red Giants bersedia memberikan lebih banyak peluang kepada pemain muda untuk pendedahan dalam perlawanan yang kompetitif sekali gus menyerlahkan lagi potensi mereka.

“Selangor akan menyahut seruan jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang mahukan supaya Liga Malaysia menampilkan lebih ramai pemain muda. Bukan bermakna pemain senior tidak bagus tetapi anak muda ini akan memberikan nafas baharu untuk skuad kebangsaan.

“Oleh sebab itu, kita menaikkan ramai pemain muda untuk menyertai skuad utama Selangor bagi musim 2018 dan saya juga sudah ingatkan kepada jurulatih, P Maniam dan juga pengurus, Datuk Abdul Rauf Ahmad supaya memberi peluang kepada mereka untuk beraksi.

“Ini adalah penting kerana pemain muda perlu diberikan pendedahan secukupnya memandangkan mereka bakal mewakili negara selepas ini. Inilah formula yang kita ada supaya Selangor mampu menjadikan Malaysia lebih kuat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jersi Pasukan Selangor di Plaza Alam Sentral, kelmarin.

Antara pemain muda yang diberi peluang membarisi skuad utama The Red Giants pada musim ini termasuklah A Namathevan, K Kannan, Sean Eugene Selvaraj, Mohd Ashraf Ariffin serta Faizzudin Mohd Abidin yang masing-masing masih di bawah 23 tahun.

Selangor turut mengikat dua tonggak muda Indonesia, Evan Dimas dan juga Ilham Udin Armaiyn sekali gus menyaksikan skuad Merah Kuning pada musim ini dibarisi gabungan pemain senior yang berpengalaman dan pemain muda bertenaga.

Musim lalu, Selangor yang turut membariskan beberapa pemain muda berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga keenam dengan mengutip 33 mata menerusi sembilan kemenangan, enam keputusan seri dan tujuh kali tewas.

Bagi saingan piala pula, Selangor terkandas di pusingan kedua Piala FA apabila tumbang di tangan Negeri Sembilan namun berjaya mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia sebelum tunduk di tangan naib juara, Kedah.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 8:43pm
d