arena

Speedy Jantan kembali gegar trek

Oleh Devinder Singh

KHAIRUL Hafiz Jantan akan kembali beraksi buat pertama kali pertengahan bulan depan sejak memenangi pingat emas acara 100 meter pada Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Bagaimanapun, Khairul hanya akan berlari dalam acara 4x100m pada acara ujian Sukan Asia di Jakarta bermula 10 hingga 18 Februari ini ketika dia bersedia untuk berlari secara kompetitif buat pertama kali dalam tempoh enam bulan.

Khairul, 19, sedang berusaha kembali selepas mengalami kecederaan hamstring pada temasya serantau itu yang menyaksikannya sekadar menduduki tempat keempat final 200m dan tidak beraksi dalam acara berganti-ganti.

Ketua jurulatih negara, Zainal Abas berkata, Khairul terus mengikuti program dirancang oleh jurulatih Poad Kassim, yang sedang menjalani rawatan pemulihan di Bandar Penawar selepas keluar dari hospital kerana jangkitan kuman pada paru-paru awal bulan lalu.

“Khairul sedang mengikuti program ditetapkan Poad dan ia memerlukannya hanya berlari dalam acara berganti-ganti di Jakarta,” kata Zainal.

“Walaupun Poad tidak akan ke sana kerana masih dalam pemulihan, dia sudah mengatur latihan Khairul dan terpulang kepada jurulatih untuk memutuskan bila Khairul boleh berlari dalam acara individu.”

Khairul atau lebih dikenali sebagai ‘The Speedy Jantan’ adalah antara 18 atlet yang dihantar Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) ke Jakarta bagi menyertai acara ujian itu yang turut disertai 13 negara termasuk Indonesia, Iran, Jepun dan Thailand.

Atlet kebangsaan lain disenaraikan ke Jakarta termasuk pelari pecut, Badrul Hisyam Manap, wakil lari berpagar Rayzam Shah Wan Sofian dan Hakimi Ismail (lompat kijang).

Sementara itu, KOM mengambil keputusan tidak menghantar pelari pecut, Nixson Kennedy dan Zaidatul Husniah Zulkifli ke Kejohanan Dalam Dewan Asia di Teheran yang akan bermula Khamis ini dan mereka sebaliknya dihantar ke Jakarta.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 9:21pm
d