arena

Gavin dapat sentuhan kedi ternama dunia

Oleh Naqib Nor Said

JAGUH golf negara, Gavin Kyle Green mendedahkan dia bakal mendapat sentuhan kedi ternama dunia, Mark Crane menjelang aksi Terbuka Maybank 2018 di Saujana Golf & Country Club bermula Khamis ini.

Bintang negara berusia 25 tahun itu, berkata dia sudah bekerjasama dengan Crane sejak seminggu lalu dan menikmati pendekatan mudah yang digunakan jurulatih terbabit.

Menurut Gavin, Crane bukanlah nama biasa dalam arena golf dunia apabila pernah kerjasama dengan pemain terbaik dunia seperti Paul Casey serta Chris Wood selain berpengalaman dalam menghadapi kejohanan besar iaitu Masters dan Piala Ryder.

“Dia (Crane) begitu baik dalam membaca permainan terutama bila mahu melakukan serangan atau membuat pukulan sepatutnya.

“Banyak perbezaan yang saya dapat rasakan apabila bekerjasama dengan Crane dan saya harap dalam minggu ini kami mampu mencapai sesuatu yang baik dalam saingan Terbuka Maybank,” katanya hari ini.

Gavin sebelum ini mendapat bantuan ayahnya yang menjadi kedinya sejak mula berjinak dalam sukan golf.

Seramai 155 pemain ternama dunia akan bersaing dalam saingan Terbuka Maybank tahun ini bagi merebut wang tunai AS$3 juta (RM11.696 juta) di Kelab Golf dan Country Saujana.

Sekiranya mahu memburu gelaran sulung dalam kejohanan tahun ini, Gavin perlu mengatasi halangan daripada bintang seperti Bernd Wiesberger dari Austria; Kiradech Aphibarnrat (Thailand) serta dua pemain Jepun, Yusaku Miyazato dan Yuta Ikeda yang berada dalam kelompok ranking 50 terbaik dunia.

Pemain nombor sembilan dunia, Henrik Stenson turut mengesahkan penyertaan kali ini dengan dia muncul satu-satunya pemain golf profesional yang memenangi kedua-dua kejohanan, Piala FedEx dan Race to Dubai dalam tahun yang sama.

Pemain Paraguay, Fabrizio Zanotti yang mengumpul 19 di bawah par 269 muncul juara kejohanan edisi tahun lalu.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 9:59pm
d