arena

Laporte, Aubameyang hampiri EPL

Oleh AFP

LONDON: Manchester City tampak akan melengkapkan pembelian Aymeric Laporte namun usaha Arsenal mendapatkan Pierre-Emerick Aubameyang bergantung kepada satu lagi perpindahan dipersetujui oleh kelab Liga Perdana yang masih berebut sebelum tarikh tutup hari ini.

Kelab Sepanyol, Athletic Bilbao menerbitkan mesej dari Laporte yang akan meninggalkan kelab itu di Twitter sambil berkata, klausa pelepasan 65 juta euro (RM315 juta) sudah dibayar dan dia akan ke Manchester.

Ia bermakna skuad kendalian Pep Guardiola yang juga pendahulu Liga Perdana melepasi 55 juta pound (RM302.53 juta) dibayar mereka buat pemain tengah penyerang Belgium, Kevin de Bruyne – perpindahan Laporte ialah sekitar 57 juta pound (RM313.54 juta).

Pemain berusia 23 tahun itu juga akan menjadi pertahanan kedua termahal dalam sejarah berbanding Virgil Van Dijk yang menyebabkan Liverpool perlu membayar 75 juta pound (RM412.55 juta) kepada Southampton awal bulan ini.

Laporte mengucapkan terima kasih kepada penyokong Athletic di Twitter namun berkata dia ingin mencari “pengalaman baharu dalam karier profesionalnya.”

“Saya tidak mahu ini menjadi ucapan selamat tinggal tetapi lebih baik, jumpa anda tidak lama lagi,” katanya. “Di sini saya akan meninggalkan kelab unik dan berbeza dan saya tidak akan melupakannya.”

Dalam pad aitu, penyerang Borussia Dortmund, Aubameyang tidak sabar berpindah dengan nilai 60 juta pound (RM330.04 juta) ke Arsenal, yang tampak mahu memperkuatkan serangan mereka selepas pemergian Alexis Sanchez ke Manchester United.

BBC berkata Arsenal sudah bersetuju mengenai yuran dengan kelab Bundesliga itu selain syarat peribadi dengan pemain antarabangsa Gabon berusia 28 tahun itu tetapi kelab Jerman itu hanya akan melepaskannya jika ada pengganti.

Penyerang Arsenal, Olivier Giroud dilaporkan menjadi kunci perpindahan – sama ada pengganti terus kepada Aubameyang atau sebahagian perjanjian tiga pasukan, dengan Giroud ke Chelsea dan Michy Batshuayi bertukar dari Stamford Bridge ke Dortmund. -

Disiarkan pada: January 31, 2018 @ 12:47am
d