arena

Swansea hukum kesilapan Arsenal

Oleh Reuters

SWANSEA, United Kingdom: Arsenal dibelenggu satu lagi kekalahan memalukan apabila tewas 3-1 di tangan Swansea City yang memanfaatkan kesilapan ketara pelawat.

Kemenangan itu mengembalikan harapan Swansea untuk kekal di Liga Perdana musim depan dan merencatkan peluang Arsenal menyertai kelompok empat teratas liga.

Sam Clucas meledak dua gol dan satu daripada Jordan Ayew untuk memastikan tiga mata berharga buat Swansea selepas Arsenal mendahului permainan menerusi bek tengah Nacho Monreal.

Skuad kendalian Arsene Wenger membuka jaringan pada minit ke-33 tetapi kelebihan itu dipadamkan hanya beberapa saat kemudian selepas Mesut Ozil terlepas bola dan Clucas memanfaatkannya untuk menyamakan kedudukan.

Arsenal bertambah malang di babak kedua apabila penjaga golnya Petr Cech gagal mengeluarkan bola dari kotak penalti dan Ayew menambah jaringan pada minit ke-61 sebelum Clucas mengesahkan kemenangan ketika permainan berbaki empat minit.

“Saya rasa kami bertahan dengan teruk sekali dan melakukan kesilapan besar,” kata Wenger. “Lebih baik untuk tidak bercakap berkenaan gol kedua atau ketiga.”

Kekalahan itu meletakkan Arsenal di tangga keenam, lapan mata di belakang Liverpool yang menghuni tangga keempat selepas menewaskan Huddersfield 3-0.

Arsenal kini hanya menang sekali dalam lima perlawanan liga terakhir mereka. Sepanjang 13 perlawanan liga di tempat lawan musim ini, Arsenal hanya menang tiga kali dan tewas enam kali.

Mereka juga mengharungi lima perlawanan terakhir di tempat lawan tanpa sebarang kemenangan dalam semua pertandingan.

Swansea sebaliknya, menikmati kebangkitan di bawah pengendali baharu Carlos Carvalhal dan berjaya melonjak keluar dari zon penyingkiran - mengatasi Stoke City dengan kelebihan perbezaan jaringan.

Selepas menewaskan Liverpool dalam saingan liga minggu lalu, Swansea kini menang empat dan tewas sekali dalam lapan perlawanan terakhir semua pertandingan di bawah pengendali dari Portugal itu.

Disiarkan pada: January 31, 2018 @ 1:03pm
d