arena

Leicester asal boleh enggan lepas Mahrez

Oleh AFP

LONDON: Pengurus Leicester, Claude Puel akan melakukan apa yang termampu untuk memastikan Riyad Mahrez ‘kembali dengan senyuman’ selepas percubaan pemain Algeria itu menyertai pendahulu Liga Perdana Inggeris Manchester City tidak menjadi kenyataan pada hari terakhir jendela perpindahan pemain.

Memandangkan Foxes terdesak untuk tidak menyerahkan salah seorang bintang yang membantu mereka muncul juara Liga Perdana 2015/16, beberapa akhbar Britain melaporkan bahawa City terkejut dengan nilai £96 juta (RM531.6 juta) yang diletakkan Leicester terhadap Mahrez justeru enggan membuat sebarang bidaan.

Mahrez diketepikan daripada skuad Leicester yang tewas 1-2 kepada Everton dan menurut Puel ia situasi sukar buat kelab dan pemain berkenaan.

“Kami menerima bidaan saat akhir daripada City dan ia mengejutkan kami. Ia juga sukar buat Riyad,” kata Puel.

“Kita perlu memahami semua aspek: baik untuk saya, pasukan dan pemain. Kami akan menerima keputusan dan ia keputusan yang dibuat kedua-dua kelab.

“Sudah tentulah saya mempunyai keyakinan terhadap pemilik pasukan untuk membuat keputusan terbaik berhubung masa depan Riyad dan kami akan bertemu Riyad apabila dia kembali bersama kami.”

Jurulatih kelahiran Perancis itu berkata: “Semua pemain dan kakitangan akan membantunya kembali dengan senyuman dan menikmati bola sepak. Pemain sedar betapa sukarnya keadaan ini buat Riyad.

“Kami mempunyai kumpulan yang baik, skuad yang hebat, pemain yang mempunyai hubungan hebat. Semua pemain akan memberikan yang terbaik buat Riyad.”

Disiarkan pada: February 1, 2018 @ 10:12am
d