arena

Hafizh ke MotoGP

Oleh Fadhli Ishak

PENUNGGANG SIC Racing Team Hafizh Syahrin Abdullah berpeluang menyertai saingan MotoGP lebih awal daripada dijangka apabila dia disenarai pendek sebagai pengganti Jonas Folger di Monster Yamaha Tech 3 yang mengalami masalah kesihatan.

Kedua-dua pihak, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Tech 3, mengesahkan Hafizh, yang menyertai saingan Moto2 sepanjang empat musim lalu, dipertimbangkan untuk menggantikan Folger.

Folger dilaporkan mengalami sindrom Gilbert, penyakit keturunan yang memaksanya melupakan kesemua perlumbaan musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali, dalam beberapa kenyataannya sejak beberapa bulan lalu, menyatakan yang Hafizh memang dalam program persediaan untuk menghadapi kelas utama itu pada musim 2019.

Sama ada mereka bersedia melepaskan Hafizh, yang baru saja ditandatangani daripada Petronas Raceline penghujung tahun lalu, masih belum dapat dipastikan. Razlan ketika dihubungi enggan menjelaskan situasi berkenaan secara lebih terperinci.

"Ya mereka (Tech 3) ada menghubungi kami, itu saja dapat saya nyatakan sekarang,” kata Razlan.

Dalam satu temuramah oleh www.Motocyclenews.com (MCN) semalam, prinsipal Tech 3 Herve Pocharal mengesahkan yang mereka berminat mendapatkan khidmat Hafizh tetapi menjelaskan yang perkara itu masih di peringkat awal.

Menurut Poncharal, pasukannya perlu mempertimbangkan pandangan pihak pengeluar, Yamaha dan penaja-penaja mereka, yang sebelum ini mengharapkan Folger akan mewakili mereka bersama-sama penunggang baharu terbaik MotoGP 2017, Johann Zarco.

Folger terlepas empat perlumbaan terakhir musim lalu akibat penyakitnya. Dia dijangka pulih sepenuhnya akhir tahun ini tetapi awal bulan lalu mengumumkan yang dia tidak akan beraksi musim ini.

Disiarkan pada: February 1, 2018 @ 4:26pm
d