arena

Poad tetap pantau anak buah

Oleh Aida Adilah Mat

JURULATIH pecut negara Mohd Poad Md Kassim yang masih dalam cuti sakit, tetap memantau perkembangan anak didiknya terutama Khairul Hafiz Jantan

Selepas hasratnya untuk menghantar barisan atlet pecut di bawah bimbingannya berlatih di luar negara seperti hanya tinggal angan-angan, Poad tidak pernah berputus asa bagi memastikan yang terbaik buat anak didiknya.

Menurutnya dia masih lagi memerhatikan atletnya menjalani latihan dari jauh bagi memastikan momentum mereka tidak terganggu,” katanya yang turut memaklumkan seperti mati hidup semula selepas koma akibat jangkitan paru-paru awal Disember lalu.

“Olahraga ini sudah sebati dalam diri saya. Ia seperti darah daging saya dan tidak mungkin boleh dipisahkan. Saya mahu kesemua atlet saya terus cemerlang dan mengharumkan nama negara tidak kiralah apa saja halangan, saya akan cuba memberi yang terbaik buat mereka.”

Poad berkata Khairul akan turun beraksi buat kali pertama selepas Sukan SEA Kuala Lumpur, di Kejohanan Pra Sukan Asia di Indonesia dari 11 hingga 14 Februari ini dalam acara 4x100 meter di samping Badrul Hisyam Abdul Manap, Haikal Hanafi dan Abdul Wafiy Roslan.

Tiada sasaran ditetapkan Poad kerana dia hanya mahu melihat perkembangan terkini pelari di kejohanan kompetitif yang pertama selepas enam bulan tidak beraksi.

“Khairul sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring yang dialaminya ketika Sukan SEA namun dia hanya akan beraksi dalam acara berganti-ganti di Kejohanan Pra Sukan Asia itu.

“Biarpun sudah pulih tetapi saya masih lagi berhati-hati kerana Khairul akan beraksi di Sukan Komanwel nanti,” katanya.

Khairul atau lebih dikenali sebagai ‘The Speedy Jantan’ adalah antara 18 atlet yang dihantar Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) ke Jakarta bagi menyertai acara ujian itu yang turut disertai 13 negara termasuk Indonesia, Iran, Jepun dan Thailand.

Atlet kebangsaan lain disenaraikan ke Jakarta termasuk pelari pecut, Badrul Hisyam Manap, wakil lari berpagar Rayzam Shah Wan Sofian dan Hakimi Ismail (lompat kijang).

Disiarkan pada: February 1, 2018 @ 8:20pm
d