arena

Ambil serius

Oleh Mohd Khairie Khalid

Bangi: Meskipun sudah meraih pelbagai kejayaan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, Fatin Nurfatehah Mat Salleh enggan mengambil mudah akan saingan yang bakal diterimanya di Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2018.

Apa yang bermain di fikirannya ketika ini adalah memperbaiki rekod peribadi terbaik menjelang aksi yang dijadual berlangsung di Stadium Pavillion, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Selain itu, pemanah harapan negara yang mewakili Universiti Sains Malaysia (USM) itu menjadikan SUKIPT sebagai kejohanan pemanas badan buat dirinya sebelum menyertai temasya lebih besar, tahun ini.

“Untuk SUKIPT kali ini, sasaran saya adalah untuk melakukan catatan peribadi terbaik terlebih dulu dan hasilnya akan datang kemudian.

“Saya sedar akan berdepan saingan hebat apatah lagi dengan kemunculan pemanah mewakili Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin.

“Apa pun yang terjadi, saya tetap kena buat yang terbaik kerana selepas SUKIPT saya akan ke Jakarta pada 8 Februari untuk perlawanan percubaan Sukan Asia,” kata Fatin kepada pemberita, semalam.

Pemenang dua pingat emas dan satu gangsa pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) lalu dijadual menyertai acara individu dan berpasukan campuran di SUKIPT.

Untuk rekod, SUKIPT 2018 kali ini menyaksikan sebanyak 238 pingat emas daripada 27 acara dipertandingkan secara keseluruhan. Sukan memanah dijadual bermula hari ini dengan mempertaruhkan 14 pingat emas sepanjang lima hari kejohanan.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 2:38am
d