arena

Gold Coast gamit Hup Wei

Oleh Aida Adilah Mat

BELUM ada senarai rasmi atlet olahraga yang akan bertanding di temasya Sukan Komanwel Gold Coast April ini dengan atlet lompat tinggi Lee Hup Wei antara nama baru yang akan dipertimbangkan untuk disenaraikan.

Kejayaan Hup Wei merekodkan pencapaian terbaik peribadi 2.28 meter ketika beraksi di Kejohanan Balapan dan Padang AACT di Canberra, Australia minggu lalu meletakkan dia dalam kedudukan pingat di Gold Coast.

Timbalan Chef de misson Sukan Komanwel, Jefri Ngadirin berkata, setakat ini hanya olahraga yang belum memutuskan senarai atlet. Bagaimanapun perkara itu mungkin akan diketahui dalam masa terdekat dengan ketua jurulatih Zainal Abas dijadualkan bertemu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk memutuskan senarai akhir minggu depan.

“Semua sukan sudah ada senarai masing-masing kecuali olahraga. Mungkin akan bertukar dan mungkin tidak. Jadi saya tidak boleh memaklumkan siapakah atlet yang akan ke Gold Coast.

“Tapi kejayaan Hup Wei memungkinkan dia disenaraikan semula dalam kontinjen negara,” katanya. Tegas Jefri, MOM terpaksa meneliti senarai atlet dengan lebih terperinci berikutan syarat yang dikeluarkan penganjur apabila hanya membenarkan Malaysia menyenarai 98 atlet yang tidak melepasi syarat kelayakan.

Terdahulu lompatan 2.28m yang dilakukan Hup Wei di Canberra itu mengatasi catatan peribadi terbaiknya iaitu 2.27m yang dicipta ketika Grand Prix Asia 2010 di Chennai, India. Pencapaian berkenaan turut membolehkan nama Hup Wei berada di kedudukan pertama ranking Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) untuk musim 2018.

Manakala bagi jurulatih Hup Wei, Alex Stewart kejayaan anak didiknya memenangi pingat emas dengan melakukan lompatan peribadi terbaik 2.28m membuktikan atlet kelahiran Selangor itu di landasan untuk terpilih ke Komanwel.

Untuk rekod pemenang pingat emas Komanwel empat tahun lalu di Glasgow dalam acara lompat tinggi milik atlet Kanada Derek Drouin dengan lompatan 2.31m diikuti, Kyriakos Ioannou dari Cyprus 2.28m dan gangsa milik Michael Mason dari Kanada 2.25m.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 6:05pm
d