arena

Campillo dahului pusingan ketiga

Oleh Farah Azharie

PEMAIN golf Sepanyol, Jorge Campillo hanya memerlukan satu driver dan enam iron untuk berkongsi carta pendahulu pada aksi pusingan ketiga Kejohanan Terbuka Maybank, hari ini.

Pemain berusia 31 tahun itu membenam eagle pada lubang pertamanya di pusingan ketiga untuk mencatat enam di bawah par 66 sekali gus meraih catatan agregat 15 di bawah par 201 untuk berkongsi kedudukan pendahulu bersama Dylan Frittelli.

“Saya melakukan pukulan driver yang sempurna dan enam iron dalam jarak empat ke lima meter untuk berjaya menamatkan pukulan dengan baik. Bagus dapat membuka aksi dengan eagle.

“Saya beraksi dengan baik pada pusingan ini. Saya berdepan kesukaran di beberapa lubang tetapi berjaya melakukan putt jadi secara keseluruhan, ia aksi yang meyakinkan.

“Saya tidak sabar menunggu esok kerana saya teruja selepas berada pada kedudukan yang baik,” katanya.

Sepanjang sembilan tahun bergelar pemain profesional, Campillo gagal meraih sebarang kemenangan dalam Jelajah Eropah, namun berhasrat untuk menamatkan kemarau kejuaraan pada penampilan ketiganya dalam Kejohanan Terbuka Maybank kali ini.

Pencapaian terbaiknya pada kejohanan ini adalah meraih kedudukan keempat yang dikongsi secara bersama pada 2016.

Sementara itu, Frittelli yang membuat penampilan sulungnya pada Kejohanan Terbuka Maybank berjaya mencuri tumpuan dengan dia mengakui kesabaran menjadi kunci kepada kejayaannya setakat ini.

“Saya sudah menyatakan semalam bahawa saya perlu bersabar apabila berada di atas green. Ramai yang sering kecewa ketika di atas green tetapi saya mahu kekal positif dan cuba memasukkan bola ke dalam lubang dengan sempurna,”kata Frittelli yang kini menghuni ranking ke-47 dunia.

Pendahulu semalam, Phachara Khongwatmai dari Thailand dan Nino Bertasio (Itali) merudum ke tangga kelima selepas sekadar meraih 70 pukulan dan merakam agregat 13 di bawah par 203.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 7:01pm
d