arena

Ferguson inspirasi Mourinho pacu United

Oleh AFP

Manchester, England: Jose Mourinho menjadikan Alex Ferguson sebagai inspirasi dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan skuad kendaliannya Manchester United, musim depan.

Buat kali pertama kelmarin, Mourinho akur betapa kejuaraan musim ini akan menjadi milik musuh setempat Manchester City selepas kekalahan United kepada Tottenham yang membuka jurang besar 15 mata buat skuad kendalian Pep Guardiola di puncak liga.

City ketika ini di landasan terbaik untuk mencatat rekod baru dengan jumlah mata tertinggi yang ketika ini dipegang United kendalian Ferguson pada musim 1999-2000 dengan memenangi liga menerusi kelebihan 18 mata.

“Saya sentiasa mengingati kata-kata Sir Alex pada 2005-06, apabila kami memenangi gelaran kedua dengan Chelsea, ‘kami perlu meningkat dengan banyak kerana mereka meningkatkan tahapnya ke aras yang cukup tinggi. Mereka menang dua gelaran berturut-turut’,” kata Mourinho.

“Gelaran kedua lebih mudah daripada yang pertama dan kemudian pengurus paling hebat di Liga Perdana berkata Manchester United perlu banyak meningkat. Ia adalah titik bagi peningkatan buat pasukan.

“Pada musim 2006-07, Man United kembali memenangi liga. Ia perlu menjadi seperti itu. Itulah sebabnya mengapa setiap perlawanan hingga hujung musim penting buat kami.

“Ia tidak hanya berkaitan dengan mata dan menamatkan saingan di kedudukan empat teratas, yang sememangnya penting. Cuba untuk menamatkannya di tempat kedua.

“Cuba untuk bermain sebaik mungkin dan meningkatkan pemain secara individu sebaik mungkin dan menjadi pasukan yang terbaik di hujung saingan.”

Disiarkan pada: February 4, 2018 @ 4:06am
d