arena

Guardiola bidas pengadil

Oleh AFP

Burnley: Pep Guardiola mempertahan keputusannya untuk menyenarai hanya enam pemain gantian ketika Manchester City terikat 1-1 dengan Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Pengurus dari Catalan itu mendakwa, beliau tidak mempunyai pemain yang cukup untuk mengisi bangku simpanannya sekali pun mempunyai skuad termahal di EPL.

Guardiola melakukan kunjungan ke Turf Moor tanpa tujuh pemain dan lantang mengkritik pengadil kerana dikatakan tidak melakukan kerja yang sepatutnya dalam menjaga pemain.

City juga cuba mendapatkan pemain Leicester, Riyad Mahrez di saat-saat akhir sebelum jendela perpindahan ditutup, Rabu lalu namun gagal.

Selain itu, Guardiola turut mengatakan jadual perlawanan skuad utama yang berlangsung pada sebelah petang turut menjadi punca mengapa dia tidak dapat membariskan beberapa pemain mudanya.

“Kami tidak mempunyai pemain lain,” kata Guardiola. “Mereka semua cedera.

“Saya mempunyai 18 pemain dan boleh memanggil seorang daripada pasukan kedua, tetapi mereka bermain semalam (kelmarin). Pemain lain cedera.

Keputusan Guardiola itu begitupun mencetus kritikan terutama daripada pengkritik antaranya bekas pemain Manchester United, Gary Neville yang menggambarkan ia sebagai ‘jenaka.’

Tanpa beberapa pemain utama seperti David Silva, Leroy Sane dan Gabriel Jesus, City berada di landasan untuk meraih kemenangan apabila mendahului menerusi Danilo pada minit ke-22.

Begitupun, City melepaskan deretan peluang pada babak kedua dan paling buruk menerusi penyerang England, Raheem Sterling sebelum dia digantikan dua minit kemudian.

Kesilapan itu kemudian dihukum selepas minit ke-82 apabila Johann Berg Gudmundsson melepaskan rembatan voley menarik untuk menyamakan kedudukan.

“Inilah bola sepak, lain kali dia akan menjaringkan gol,” kata Guardiola sambil menegaskan tindakannya mengeluarkan Sterling bukan disebabkan dia gagal menjaringkan gol.

Disiarkan pada: February 4, 2018 @ 1:54pm
d