arena

Pochettino puji 'melangit' pengadil

Oleh Reutes

LIVERPOOL: Pengurus Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino memuji ‘karakter’ pegawai pertandingan selepas pasukannya seri 2-2 dengan Liverpool dalam aksi dramatik dan menyifatkan keputusan memberikan Spurs penalti pada minit terakhir sebagai ‘menakjubkan’.

Spurs hampir mencatat satu lagi kekalahan di Anfield apabila pasukan London itu hanya menang sekali dalam 25 kunjungan mereka selepas Mohamed Salah meletakkan Liverpool 2-1 di depan pada minit terakhir.

Harry Kane, bagaimanapun memanfaatkan penalti pada minit ke-95 yang diberikan kepada Tottenham selepas penjaga garisan mendapati kekasaran berlaku ke atas Erik Lamela bagi membolehkan mereka merampas satu mata.

Biarpun pengurus Liverpool Juergen Klopp berang dengan tindakan itu dan pemberian penalti ke atas Kane yang dijatuhkan biarpun dilihat berada dalam keadaan ofsaid yang kemudiannya gagal disempurnakan Kane, Pochettino bagaimanapun lebih bersikap positif terhadap pengadil Jon Moss dan pembantunya.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pengadil kerana menunjukkan karakter seperti itu,” kata Pochettino.

“Sukar untuk mengetahui bila masanya mereka bertindak betul tetapi di bilik persalinan, saya yakin setiap keputusan mereka adalah tepat.

“Kadangkala kita merungut mengenai mereka (pengadil). Saya tidak berbuat demikian kerana sudah lama saya memutuskan untuk tidak merungut. Adalah penting untuk menyedari bahawa tindakan mereka adalah tepat kerana ia tugas yang sukar buat mereka.

“Jika Dejan Lovren tidak menyentuh bola, maka Kane dikira ofsaid namun jelas sekali dia menyentuh bola maka Kane onsaid. Yang kedua jelas sekali disebabkan kekasaran Virgil van Dijk, ia satu keputusan yang menakjubkan memandangkan pengadil dan penolongnya memberikan perhatian.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada mereka kerana ia musim yang sukar.

“Ia permainan yang hebat. Semua orang yang datang teruja dengan perlawanan menakjubkan kedua-dua pasukan. Perlawanan yang seronok untuk disaksikan.

“Pasukan saya bermain dengan baik pada separuh masa kedua berdepan pasukan yang hebat apabila mereka berada di depan. Saya fikir kawalan kami hebat. Kami hanya kekurangan mata.”

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 9:13am
d