arena

Panahan emas Nur Aina

Oleh Mohd Khairie Khalid

Kuala Lumpur: Status bukan pilihan menjadi kelebihan buat Nur Aina Yasmine Halim untuk muncul pemenang pingat emas acara compound individu wanita pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2018, semalam.

Penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) itu juga tenang mengawal sasarannya walaupun tiupan angin agak kuat di Stadium Pavillion, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kejayaan Aina turut mengecewakan pemanah tumpuan, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang hanya menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan 339 mata.

“Saya bukan seorang atlet kebangsaan dan tampil sebagai pemanah bukan pilihan di sini. Tapi saya berpegang kepada prinsip semua orang boleh mendapatkan pingat, jadi saya bersaing tanpa memikirkan orang lain.

“Tak sangka juga boleh menang hari ini kerana tiupan angin agak kuat pada pusingan kedua. Ramai yang kecundang tapi saya hanya kekalkan momentum serta buat panahan dengan tenang,” kata Aina.

Atlet berusia 22 tahun itu berkata, dia sudah mencapai sasarannya untuk meraih satu pingat emas di SUKIPT, namun menjadi bonus buatnya jika mampu menambah kilauan emas dalam acara lain selepas ini.

Sementara itu, pingat emas compound lelaki menjadi milik Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli dari Universiti Multimedia yang mengumpul 663 mata.

Menurut Alang dia ketinggalan dan berasa agak tertekan pada peringkat awal tetapi kembali memperkemas panahannya untuk memastikan kemenangan.

“Ini perlawanan pertama dan emas pertama buat saya. Kejayaan ini milik saya selepas mulai bangkit ketika prestasi tidak memberangsangkan di awal permainan.

“Selepas SUKIPT saya akan menyertai perlawanan percubaan Sukan Asia di Jakarta pada 8 Februari kerana ia salah satu medium pemilihan atlet untuk ke Sukan Asia,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 9:30am
d