arena

Marcote mampu tingkat aksi pemain

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) percaya dengan keupayaan pengendali Kedah, Ramon Marcote untuk meningkatkan mutu permainan pemain selepas ini walaupun mereka tewas pada aksi Piala Sumbangsih malam kelmarin.

Malah kekalahan 1-2 dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan itu yang juga pembuka tirai saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, tidak mematahkan semangat pemain untuk memburu kemenangan pada perlawanan seterusnya.

Presiden KFA Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihaknya akan memberi peluang kepada Marcote untuk mempertingkatkan mutu permainan pemain Kedah tambahan beliau baru mengendalikan pasukan itu.

“Beri beliau masa untuk menyesuaikan keadaan tambahan pemain import pun baru nak sesuaikan diri... jadi kita tengoklah dalam dua tiga perlawanan lagi.

“Kita tak boleh tengok persembahan pada perlawanan persahabatan sebelum ini dan perlawanan pertama semalam untuk menentukan prestasinya tambahan KFA tidak mahu menggangu tumpuan mereka,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kekalahan Kedah kepada JDT pada perlawanan pembuka tirai saingan Liga Super di Larkin.

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 9:57am
d