arena

Dollah lega elak aib

Oleh Asrol Awang

JURULATIH Pahang, Dollah Salleh mengaku skuadnya bernasib baik daripada diaibkan Perak selepas seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata, keputusan seri itu melegakannya kerana skuad itu tidak beraksi dengan baik dan hampir dikecewakan lawan.

Katanya, segalanya serba tidak menjadi terutama di bahagian serangan dan tengah yang gagal membantu memperkasakan skuad Tok Gajah, sekali gus meraih tiga mata di laman sendiri.

“Saya akui jentera serangan dan tengah kurang menyerlah hingga memberi kesan terhadap corak permainan Pahang kerana terlalu bergantung kepada Mohamadou Sumareh.

“Saya memang mengharapkan Nor Azam Azih dan Chan Vathanaka untuk membantu jentera serangan tetapi mereka gagal beraksi dengan baik dan terpaksa dikeluarkan pada babak kedua.

“Kami bernasib baik kerana Perak gagal menembusi gawang untuk memastikan skuad Tok Gajah meraih sekurang-kurangnya satu mata,” katanya.

Mengulas keputusan memasukkan penyerang Argentina, Sergio Unrein pada babak kedua, Dollah berkata, pemain itu

belum mencapai tahap kecergasan yang diinginkan.

Katanya, sepanjang tempoh 25 minit permainan, Unrein masih lagi gagal membentuk keserasian dengan rakan sepasukan.

“Begitu juga pemain pertahanan, Alex Gomes yang belum mencapai tahap kecergasan kerana baru bersama Pahang dalam tempoh seminggu.

“Bagaimanapun, saya percaya semua pemain akan dapat beraksi dengan lebih baik pada perlawanan kedua nanti terutama memperbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 1:30pm
d