arena

Apek tak sabar beraksi

Oleh Attirmidzie Rahman

PENJAGA gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat mengesahkan sudah cergas sepenuhnya untuk mengalas tanggungjawab pada perlawanan menentang Terengganu FC I (TFC I) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV (SSMIV), malam esok.

Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek sebelum ini terpaksa diketepikan daripada perlawanan pembukaan tirai Liga Super pasukan Kelantan menentang Melaka United (MU) selepas mengalami masalah kesihatan bersama kapten pasukan, Badhri Radzi.

“Alhamdulilah keadaan kesihatan saya semakin baik dan Insya-Allah saya bersedia untuk beraksi jika mendapat peluang pada perlawanan malam esok.

“Perlawanan ini sangat penting untuk pasukan memandangkan ini aksi kedua dalam liga yang memerlukan kemenangan pertama di halaman sendiri.

“Saya pasti setiap pemain sudah mendapat suntikan motivasi selepas kita terpaksa akur dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan pembukaan di Stadium Hang Jebat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada masa sama, pemain berusia 29 tahun itu tidak menafikan kekuatan yang ada pada pasukan Terengganu FC I yang sekali lagi bakal memberi tentangan sengit buat pasukannya malam esok.

“Terengganu bukan lawan yang mudah dan seperti kita tahu pasukannya mempunyai pemain yang lengkap selain import baharunya yang bagus.

“Mereka sudah pasti juga mahu bangkit selepas sekadar seri pada perlawanan lalu dan hasrat ini juga perlu ditentangi dengan sebaik mungkin.

“Bagaimanapun, bagi diri saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan berlaku dan melakukan yang terbaik jika mendapat peluang diturunkan malam esok,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 2:19pm
d