arena

Kipre tekad jaring lebih banyak gol

Oleh Malik Muhamad

SELEPAS meledak dua jaringan ketika membantu pasukannya, Terengganu FC (TFC) seri 2-2 dalam aksi pertama bertemu PKNS FC Sabtu lalu, Tchetche Kipre kini berazam mahu menjadi ‘mesin’ pencetak gol apabila pasukannya bertemu Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam esok.

Penyerang kelahiran Ivory Coast yang digelar ‘Drogba Terengganu’ dalam kalangan peminat setia pasukan Penyu itu juga bertekad mahu menjadi watak penting pasukannya dalam aksi bertemu skuad The Red Warriors itu.

“Bersesuaian tanggungjawab diberi sebagai kapten yang baharu dilantik musim ini, saya akan cuba memberikan aksi terbaik buat pasukan dalam misi mencatat kemenangan pertama selepas gagal melakukannya ketika bertemu PKNS FC Sabtu lalu.

“Saya menyasarkan untuk mencipta seberapa banyak jaringan buat pasukan selain mengharapkan rakan sepasukan juga mampu meledak jaringan jika mempunyai peluang terbaik melakukannya,” kata Kipre.

Pemain berusia 30 tahun itu yang mula menyarung jersi skuad TFC pada pertengahan liga musim lalu muncul penjaring terbanyak skuadnya dalam saingan Liga Perdana tahun lalu dengan sembilan gol.

Mengulas lanjut, pemain berketinggian 1.72 meter itu bagaimanapun mengakui bukan tugas mudah buatnya serta rakan sepasukan menjinakkan Kelantan lebih-lebih lagi beraksi di laman mereka dengan ribuan peminat setia.

“Musim lalu kami beraksi dalam saingan Liga Perdana dan berbeza pada kali ini, pasukan yang bertanding dalam Liga Super sama-sama hebat dan mempunyai keupayaan tersendiri termasuk Kelantan.

“Tapi kami tidak sesekali mudah menyerah kalah kepada lawan sebaliknya akan bermain bersungguh-sungguh untuk mengutip tiga mata walaupun kami sedar untuk mencipta kemenangan di tempat lawan agak sukar,” kata bekas penyerang kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman itu.

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 7:34pm
d