arena

Julian ketepi segala rintangan

Oleh Fadhli Ishak

SLOGAN Samsung ‘Lakukan Apa Yang Anda Tak Mampu Lakukan’ dapat disaksikan menerusi kisah mengenai Julian Yee yang mengetepikan segala rintangan untuk layak ke Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang bermula 9 hingga 25 Februari ini.

Atlet luncur ais itu dan peluncur ski negara, Jeffrey Web muncul sebagai atlet pertama Malaysia yang layak ke saingan berprestij itu sekali gus menjadi satu pencapaian yang tidak pernah dijangka sebelum ini.

Atlet berusia 20 tahun itu mengakui pengorbanan besar dan keazaman tinggi terpaksa dilakukan khususnya selepas berdepan situasi diperlekehkan oleh beberapa pihak pada peringkat awal kariernya.

Bersama Julian, Samsung melancarkan filem pendek bertajuk ‘Julian dan Kasut Luncur Saktinya’ yang memberi fokus kepada kesukaran yang dialami Julian untuk menyertai sukan luncur ais.

“Masyarakat masih bertanggapan negatif ketika saya mula menceburkan diri dalam bidang ini. Pandangan mereka belum lagi terbuka mengenai konsep sukan musim sejuk di negara ini.

“Mereka tertanya-tanya dan menganggap ia hanya untuk suka-suka dan bukan sebagai satu acara sukan. Mereka memerlukan masa untuk membuka minda bahawa banyak lagi sukan di Malaysia selain bola sepak, badminton, renang dan sebagainya.

“Saya bersyukur kerana selepas mereka mula membuka mata, mereka begitu menyokong meskipun ada yang terkejut apabila mendengar atlet luncur ais dari Malaysia. Saya akan ke Pyeongchang... saya akan memberikan yang terbaik dan tiada apa yang perlu dikesalkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem pendek itu, hari ini.

Julian yang menyasarkan untuk mara ke pusingan akhir acaranya itu nanti mengakui tersentuh selepas menyaksikan filem itu buat pertama kali dan filem animasi itu boleh disaksikan di saluran YouTube Samsung Malaysia yang dirakam dan diilustrasikan sepenuhnya menggunakan telefon bimbit Samsung Note 8.

“Secara jujurnya, saya terkejut apabila menyaksikan filem itu dan hampir mahu menangis namun saya menahan tangisan itu. Hanya sekali saja saya menangis iaitu ketika saya layak ke Olimpik Musim Sejuk.

“Menonton filem itu membuatkan saya kembali terkenang usaha keras saya selama ini. Penamatnya (yang memaparkan ibu Julian, Irene Cheow) menjadikan ia bertambah menarik,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 10:18pm
d