arena

Bukan penalti tapi sengaja: Van Dijk

PERTAHANAN Liverpool, Virgil van Dijk menuduh penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane merebahkan badannya untuk mendapatkan penalti pada aksi berakhir dengan keputusan 2-2 di Anfield.

Pengadil perlawanan, Jon Moss memutuskan penyerang England itu dijatuhkan dengan sedikit sentuhan daripada penjaga gol Liverpool, Loris Karius selepas perlawanan diteruskan ketika dia berada dalam kedudukan ofsaid.

Kane gagal menyempurnakan penalti pertama terbabit namun menebus kesilapannya dengan jaringan penalti kedua yang diperoleh selepas Van Dijk mengasari Erik Lamela untuk gol ke-100 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Namun pertahanan termahal dunia itu menegaskan Kane bernasib baik apabila dihadiahkan penalti pertama terutamanya selepas Dele Alli dilayangkan kad kuning susulan merebahkan badan dalam kotak penalti sebelum itu.

“Saya rasa dia merebahkan badannya. Anda dapat lihat dia merebahkan badan tetapi tiada siapa yang berbicara mengenai insiden itu,” kata Van Dijk.

“Ada beberapa pendapat yang menyatakan dia berada dalam kedudukan ofsaid dan saya juga berpandangan sama.”

“Anda dapat saksikan insiden itu. Pengadil membuat keputusan dengan penjaga garisan namun mujurlah sepakan penalti itu diselamatkan.”

Dalam masa sama, Van Dijk juga tidak begitu gembira dengan sepakan penalti kedua yang diberikan apabila Lamela dijatuhkan ketika dia cuba untuk mengeluarkan bola.

“Saya lihat dia cuba datang dan saya menjaga pergerakan saya - dia meletakkan badannya di hadapan bola dan kemudiannya dia jatuh.

“Pengadil menyatakan perlawanan diteruskan jadi saya kecewa apabila penjaga garisan menyatakan sebaliknya. Ia bukan penalti, sama juga seperti insiden penalti yang pertama.” - AFP

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 10:57pm
d