arena

Gadingan Korea sandaran Sabah

Oleh Ryan Stanley

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah, Jelius Ating berharap gandingan pemain import Korea Selatan, Lee Gil Hoon dan Heo Jaenyong sekali lagi untuk menggempur FELCRA FC dalam aksi Liga Perdana di Stadium Shah Alam, malam ini.

Walaupun Gil Hoon beraksi selaku penyerang manakala Jaenyong di bahagian tengah, persefahaman antara mereka nyata mengucar kacirkan pertahanan Terengganu FC II pada aksi pembukaan liga di Stadium Likas, Jumaat lalu.

“Persefahaman baik antara dua rakan senegara ini berjaya membantu kita terutama di bahagian serangan, di samping itu saya lihat persefahaman mereka dengan pemain tempatan semakin baik.

“Ia bukan hanya dalam padang, malah di luar padang, kita melihat mereka sudah seperti satu keluarga besar dan ini sebenarnya antara kunci kekuatan kita pada musim ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Jelius berkata, selain Gil Hoon dan Jaenyong, penyerang import dari Puerto Rico, Hector Pito Ramos juga semakin menunjukkan persefahaman baik dengan rakan sepasukannya.

“Dia (Ramos) baru menyertai kita kira-kira tiga minggu dan semakin menyesuaikan diri dengan pasukan khususnya pemain tempatan, dia juga telah membuktikan kemampuan menjaringkan gol pada aksi lalu,” katanya.

Tambah Jelius, beliau yakin sekiranya Ramos berada dalam kondisi 100 peratus cergas dan bersedia, dia mampu menjadi antara penyerang digeruni dalam Liga Malaysia.

Dalam perkembangan lain, jurulatih berusia 47 tahun itu akan mengekalkan Robson Rendy Rining sebagai penjaga gol utama skuad Sabah pada aksi malam ini.

Penjaga gol berusia 25 tahun itu menjadi pilihan utama musim ini menggantikan Rozaimie Rohim yang sebelum ini dua musim menggalas tugas sebagai benteng terakhir.

Bagaimanapun, Jelius menegaskan pilihannya itu bukanlah bermakna Rozaimie atau lebih mesra dipanggil Roy tidak bagus.

“Kedua-duanya (Rendy dan Rozaimie) bagus, cuma saya ingin memberi peluang kepada Rendy untuk tingkatkan prestasi dan keyakinannya.

“Saya membuat keputusan ini juga kerana tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada Rozaimie untuk menjaga pintu gol, saya mahu Rendy dan Rozaimie sentiasa bersedia diturunkan pada bila-bila masa,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 11:58am
d