arena

Zulhamizan mahu polis fokus

Oleh Asrol Awang

JURULATIH Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Zulhamizan Zakaria mahu skuad itu kekal fokus sepanjang 90 minit apabila bertemu FELDA United dalam saingan Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini.

Zulhamizan mengarahkan anak buahnya tidak hilang fokus pada minit akhir seperti yang dilakukan ketika seri 1-1 dengan FELCRA FC pada perlawanan pertama Liga Perdana tempoh hari.

Katanya, sebagai persediaan menghadapi The Fighters, segala kesilapan sudah diperbaiki untuk memastikan tiga mata menjadi milik The Cops.

“Saya akui pemain gagal menyerap tekanan ketika seri 1-1 dengan FELCRA FC pada aksi pertama terutama jaringan minit-minit akhir yang dilakukan lawan.

“Sebab itu, saya ingatkan pemain supaya mereka kekal fokus sepanjang 90 minit perlawanan dan pada masa sama tidak melakukan kesilapan yang boleh mengundang padah buat pasukan,” katanya.

Beliau berkata, pertemuan dengan FELDA United memerlukan komitmen tinggi semua pemain kerana kelab berkenaan memiliki barisan pemain berpengalaman.

Katanya, pada masa sama, skuad bimbingan B Sathianathan itu mencatat kemenangan pertama ketika menewaskan UKM FC 2-1 yang memperlihatkan bahawa lawan sedia untuk meneruskan rentak kemenangan.

“Namun, saya percaya dengan semangat yang dipamerkan pemain yang mahu mencatat kemenangan pertama, mereka akan melaksanakan tugas masing-masing dengan cemerlang,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 12:16pm
d