arena

'Berat boh, berat...'

Oleh Faizul Azlan Razak

KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC II (TFCII), Mustaffa Kamal Abd Wahab mengakui kecewa dengan anak buahnya yang tidak fokus menyebabkan pasukannya kempunan meraih tiga mata bertemu Sarawak dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Katanya, beliau kesal apabila tiga mata yang sudah berada dalam genggaman dinafikan dengan gol penyamaan pada masa kecederaan.

“Inilah bola sepak, apa saja boleh berlaku selagi wisel penamat belum ditiupkan tatkala kami sudah terbayangkan tiga mata penuh dalam perlawanan ini.

“Keputusan ini amat mengecewakan, tapi kita perlu menerima hakikat dan menjadikannya pengajaran kepada pemain untuk perlawanan akan datang,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, TFC II bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi pemain import, Akanni Sunday Wasiu yang menolak masuk bola muntah yang ditampan penjaga gawang, Mohd Iqbal Suhaimi seawal minit pertama.

Begitupun, Bobby Gonzales menjadi duri dalam daging apabila muncul penyelamat pasukannya daripada kekalahan apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-93 masa kecederaan untuk mengikat tuan rumah 1-1.

Mengulas lanjut, Mustaffa Kamal berkata pasukannya menunjukkan sedikit peningkatan berbanding ketika perlawanan pertama yang menyaksikan mereka tewas 0-4 di tangan Sabah di Kota Kinabalu, Jumaat lalu.

Sementara itu, penolong jurulatih Sarawak, Pengiran Bala gembira pasukannya tidak tewas dalam perlawanan itu dan berjaya mencuri satu mata dibawa pulang ke Kuching.

“Misi utama kami berkunjung ke Kuala Terengganu mahu mengutip sekurang-kurangnya satu mata dan pemain berjaya melaksanakan sekalipun terpaksa menanti gol di penghujung permainan,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 12:40pm
d