arena

Julian mahu 'serap jiwa' penonton

Oleh Jumiati Rosly

JULUNG kali beraksi di pentas Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan, Julian Yee mahu menjadikan lagu ‘To Build A Home’ yang dipilihnya mampu membawa penonton menghayati persembahannya nanti sambil melihat kesitimewaan dimiliki negara kelahirannya, Malaysia.

“Pada setiap persembahan, ada kisah di sebalik lagu yang kami pilih. Saya rasakan pemilihan lagu ini mempunyai kaitan dengan kisah hidup saya.

“Ia berkaitan dengan asal usul saya iaitu Malaysia yang juga sebuah negara tropika,” katanya di sini yang akan menggunakan lagu itu sebagai tema mengiringi persembahan pada pusingan awal di Pyeongchang.

Lagu balada itu dimainkan oleh kumpulan The Cinematic Orchestra dengan pencipta lagu dan juga penyanyi Kanada, Patrick Watson tampil bermain piano dan menyanyikan lagu itu.

Julian perlu menempatkan diri di kalangan 24 atlet terbaik dalam pusingan awal sebelum boleh melangkah ke pusingan akhir selepas itu.

“Saya rasakan rumah saya adalah tempat paling selesa di dunia ini,” katanya yang meninggalkan tanahair untuk menjalani latihan sepenuh masa di Kanada sejak 2016.

Atlet pertama negara yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Musim Sejuk itu berkata bahawa sesebuah rumah tidak perlu terlalu mewah tetapi memadai dengan apa yang ada.

“Saya mahu menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara yang diiktiraf untuk pelbagai perkara kerana kami juga melakukan banyak perkara positif. Jadi saya mahu pastikan negara lain dapat melihat sendiri perkara yang terbaik yang kita miliki.

“Saya mahu tunjukkan tempat asal saya dan saya sangat bangga mewakili Malaysia,” katanya yang menetap di Petaling Jaya.

Penyertaan Julian, 21, di Pyeongchang melakar sejarah buat negara apabila dapat menghantar kontinjen sekali gus meletakkan Malaysia antara enam negara lain yang membuat penampilan sulung pada temasya Musim Sejuk itu.

Julian turut diberi pengiktirafan membawa obor temasya itu dalam acara larian yang bakal berlangsung pada Khamis ini.

“Kemungkinan besar saya dipilih (pembawa obor) kerana saya juga terbabit dalam Korean Dream Program juga di PyeongChang pada tahun 2009,” katanya.

Jika sembilan tahun lalu Julian dipilih mewakili negara untuk turut serta dalam program pendedahan sukan musim sejuk, siapa sangka atlet itu akan kembali ke PyeongChang sekali lagi namun sebagai atlet yang turut bertanding dalam temasya itu.

“Kerajaan Korea Selatan mahu mempromosikan sukan musim sejuk kalangan negara yang tidak mempunyai iklim sejuk. Jadi ketika itu ramai atlet terutama atlet muda yang turut serta dan kali pertama dapat menyaksikan salji.

“Program itu memberi banyak pengalaman buat saya ketika itu untuk mengetahui lebih banyak jenis sukan dipertandingkan. Ia membuka mata saya dan memberi inspirasi kepada saya untuk melihat sejauh mana potensi saya,” katanya.

Pembaca boleh menonton video ‘Julian and His Magic Skates’ di https://www.youtube.com/watch?v=npBbF7Ibdx0

Info

Nama: Julian Yee Zhi Jie

Tarikh lahir: 26 Mei 1997

Umur: 21 tahun

Asal: Kuala Lumpur

Sukan: Luncur Ais

Mula sertai: 2001

Jurulatih: Michael Hopfes

Pencapaian:

Kejohanan Dunia

2016 di Boston, Amerika Syarikat - kedudukan ke-21

2017 di Heisinki, Finland - 22

Kejohanan Empat Benua

2015 di Seoul, Korea Selatan - 22

2016 di Taiwan - 15

2017 di Gangneung, Korea - 15

Sukan Musim Sejuk Asia

2017 di Sapporo, Jepun - 8

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 1:27pm
d