arena

FAM sedia bida tuan rumah Kejohanan B-23 AFC

Oleh Aziman Rosdi

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) sudah bersedia dengan perancangan rapi dalam misi merealisasikan impian beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila mahu membida hak selaku tuan rumah pusingan akhir Kejohanan Bawah 23 Tahun (B-23) AFC.

Pusingan akhir kejohanan itu yang dijangka berlangsung pada awal 2020 amat penting buat skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee kerana ia menawarkan empat slot ke Tokyo.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, cadangan untuk membida sebagai tuan rumah kejohanan itu sudah mendapat perkenan presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu pertemuan baru-baru ini.

“Presiden Tunku Ismail juga berkenan membida dengan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) untuk menjadi tuan rumah pusingan akhir pada 2020 dan kalau kita berjaya, kita akan memberi tumpuan kepada pasukan ini bagi pusingan kelayakan B-23 AFC 2019 dan pusingan akhir itu nanti,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian Piala FA, kelmarin.

   Selepas melakar sejarah layak ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China bulan lalu, Kim Swee kini mengintai peluang untuk mengemudi pasukan mara ke temasya Olimpik Tokyo 2020 selepas kali terakhir layak di Sukan Olimpik Moscow 1980.

   Pada kejohanan di China bulan lalu, skuad muda negara melakukan kejutan muncul naib juara Kumpulan C selepas tewas 1-4 kepada Iraq selain seri 1-1 dengan Jordan dan mengatasi Arab Saudi 1-0. Meskipun memberi tentangan sengit kepada Korea Selatan pada suku akhir, mereka terpaksa akur dengan kekalahan 1-2.

   Pusingan kelayakan Kejohanan B-23 AFC 2020 akan berlangsung tahun depan dan Hamidin menjelaskan persiapan rapi akan diadakan biarpun anak buah Kim Swee boleh layak ke pusingan akhir atas tiket tuan rumah andai bidaan itu berjaya.

Jelasnya, biarpun ada cadangan awal Kim Swee untuk hanya membawa pemain B-21 ke Sukan Asia di Indonesia Ogos ini sebagai persiapan ke pusingan kelayakan itu, mereka dijangka tetap akan membariskan skuad terbaik B-23.

   “Perbincangan saya dengan Tunku Presiden yang terkini, kami akan hantar pasukan terbaik bawah 23 tahun, bukan bawah 21 tahun, itu pandangan awal beliau. Kami akan terus memberi pendedahan kepada pemain pada masa akan datang kerana sasaran kami layak ke Sukan Olimpik Tokyo.. kami akan buat persiapan rapi,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 7:18pm
d