arena

Jijoe berdepan saingan sengit

Oleh Azlan Muhammad Zain

JAGUH trek negara, Azizulhasni Awang dijangka berdepan cabaran sengit untuk meraih kejuaraan dalam dua acara yang akan disertainya di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018 yang dijadualkan berlangsung minggu depan.

Berdasarkan senarai nama pelumba yang dihantar kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), setiap negara menyenaraikan atlet terkuat dalam acara keirin dan pecut individu.

The Pocketrocketman dijangka menghadapi saingan dari Jepun, Korea Selatan dan China pada aksi di Velodrom Nasional itu nanti.

Jepun menyenaraikan dua pelumba berpengalaman, Kazunari Watanabe yang pernah meraih perak dalam keirin pada ACC 2017 selain Tomoyuki Kawabata yang sentiasa membayangi Azizulhasni dalam setiap kejohanan di pentas antarabangsa.

Pemenang emas Sukan Asia 2014, Im Chaebin mengetuai cabaran Korea Selatan dalam misinya mengulangi kejayaan muncul juara keirin dan pecut individu pada edisi 2016.

Pada ACC tahun lalu di India, Azizulhasni meraih emas dalam acara pecut individu namun terkandas pada separuh akhir acara keirin.

“Setakat ini boleh dikatakan saingan sengit bakal dihadapi Azizulhasni berdasarkan senarai nama yang didaftarkan.

“Namun, setiap negara boleh melakukan pertukaran atau perubahan atlet sebelum mesyuarat pengurus pasukan, sehari sebelum perlumbaan bermula,” jelas Setiausaha Agung PKBM, Ibrahim Mustapa.

ACC 2018 dijadualkan berlangsung di Velodrom Nasional dari 16 hingga 20 Februari membabitkan penyertaan 22 negara secara keseluruhan.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 7:54pm
d