arena

JDT makin berselera

Oleh Rizar Mohd Noor

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan PKNP FC 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Pada pertembungan itu, pengendali JDT, Ulisses Morais menampilkan Adam Nor Azlin bergandingan dengan Fadhli Shas mengemudi benteng pertahanan sambil menyenaraikan Marcos Antonio, Gonzalo Cabrera dan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan sebagai pemain simpanan.

Rombakan itu nyata tidak menjejas rentak permainan skuad Harimau Selatan yang menguasai perlawanan dan hampir mengundang cemas gawang gol pelawat selepas sepakan percuma kapten Safiq Rahim pada minit ke-15 dari jarak 25 meter hanya melewati palang gol.

Dua minit sebelum rehat gerakan menarik tuan rumah membuahkan hasil selepas taktik umpanan Safiq melorong bola kepada Natxo Insa yang bertindak mengumpan kepada Jorge Pereyra Diaz sebelum penyerang dari Argentina itu merembat kencang menewaskan penjaga gol, Syazani Mat Puat.

Bersambung babak kedua, tuan rumah terus menguasai perlawanan apabila sering mengasak ke kubu lawan malah gerakan solo Diaz pada minit ke-50 yang bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti hampir mencemaskan gawang pelawat.

Tuan rumah menambah derita pelawat pada minit ke-58 selepas sepakan sudut Safiq tepat kepada Fadhli yang tidak dikawal mudah menanduk bola masuk menewaskan Syazani.

Kemasukan Cabrera pada minit ke-59 menggantikan Hazwan Bakri nyata menambah sengat jentera serangan tuan rumah apabila kerap mengasak kubu lawan yang terpaksa berkampung di kawasan sendiri.

Malah Cabrera hampir mencipta gol pada minit ke-71 hasil bola rembatan kaki kiri namun hanya melepasi palang selepas menerima bola umpanan Insa.

Insa melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah selepas menjaringkan gol pada minit akhir apabila merembat bola leret menewaskan Syazani hasil umpanan La’Vere Corbin-Ong.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 11:25pm
d