arena

'Hati saya berada di Madrid'

Oleh Independent

THIBAUT Courtois tidak menafikan khabar angin dia akan menyertai Real Madrid pada musim panas sebaliknya mengatakan ‘hatinya kini berada di Madrid’.

Malah, situasi peribadi dilalui sekarang boleh menjejaskan keputusannya jika mereka mahu mendapatkannya.

Chelsea berharap pemain Belgium itu bersedia untuk menandatangani kontrak baru biarpun mendapat minat juara bertahan Liga Juara Juara (UCL) itu.

Dia akan mengadakan perbincangan hujung bulan ini biarpun kontraknya sekarang hanya tamat pada penghujung musim depan.

The Blues terdesak mengekalkan penjaga gol berusia 25 tahun itu tetapi disebabkan Real kecewa terhadap rundingan mendapatkan penjaga gol Manchester United, David De Gea bermakna tumpuan kini terarah kepada Courtois.

Courtois menetap di Madrid selama tiga tahun antara 2011 dan 2014 sewaktu dipinjamkan ke Atletico Madrid.

Dua anaknya masih tinggal di sana bersama bekas teman wanitanya.

Dia mengakui prospek untuk berpindah semula ke ibu kota Sepanyol itu adalah sesuatu yang menarik.

“Ya, jika Real benar benar berminat, situasi peribadi saya boleh terjejas,” katanya dalam temu ramah bersama majalah Belgium, Sport.

“Daripada segi aspek keluarga, ia amat bernilai. Buat masa ini saya masih sibuk berbincang dengan Chelsea untuk kontrak lanjutan.

“Situasi peribadi saya ada kaitan dengan bandar Madrid itu memang sudah diketahui. Dua anak saya tinggal bersama ibu mereka di sana. Saya bercakap dengan anak perempuan saya di Facetime setiap hari.

“Dia sering memberitahu saya rindukannya. Anak lelaki saya masih terlalu kecil untuk bercakap seperti itu.

“Apabila saya mendapat peluang, saya cuba pergi balik hari ke Sepanyol. Ia tidak sentiasa mudah dalam keadaan sekarang. Ya, hati saya berada di Madrid. Ia logik dan difahami”.

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 7:44pm
d