arena

Seu Bock congak strategi

Oleh Ferzalfie Fauzi

KETUA jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock sudah mencongak strategi untuk memerangkap Thailand pada pertemuan esok sekali gus membantu pasukan muncul juara Kumpulan Y di Kejohanan Berpasukan Asia di Stadium Sultan Abdul Halim Alor Setar.

Menurutnya, apa yang perlu mereka buat ialah menumpaskan Busanan Ongbumrungpan yang akan diturunkan selaku perseorangan ketiga dan dalam masa sama meraih mata melalui Soniia Cheah (perseorangan pertama) dan Goh Jin Wei (perseorangan kedua).

“Saya akan buat pilihan nanti selepas berbincang dengan pemain dan jurulatih lain siapa yang akan diturunkan selaku perseorangan ketiga. Setakat ini saya belum fikir siapa yang akan turun (selaku perseorangan ketiga),” katanya.

Jelasnya, setakat dua aksi sebelum ini, semua pemainnya beraksi dengan baik walaupun berdepan dengan pemain lawan yang tidak terlalu kuat.

“Saya melihat dari sudut taktikal dan kemahuan mereka, setakat ini semuanya dalam keadaan baik. Esok memang kita akan menentang lawan yang lebih kuat tapi saya tetap rasa peluang kita 50-50.

“Busanan misalnya memang lain sikit corak permainannya kerana dia lebih keras dan agresif,” katanya yang bakal membuat pertimbangan sama ada S Kisona atau Lim Yin Fun bakal diturunkan sebagai perseorangan ketiga.

Ditanya mengenai aksi esok secara keseluruhan, Seu Bock mengakui mereka memang mahu menjadi juara kumpulan selepas berjaya menempah tiket ke suku akhir hari ini.

“Esok lawan kami bukan calang-calang tapi saya akan memberi nasihat kepada pemain supaya beraksi sehingga ke titisan darah terakhir. Tekanan bukan kepada Malaysia tetapi Thailand kerana di atas kertas mereka adalah pasukan pilihan,” katanya.

Seu Bock juga mengakui bahawa tugas esok bukan terletak di bahu pemain perseorangan saja, malah semua individu dalam pasukan dan mereka tidak berasa tertekan walaupun tanpa Woon Khe Wei yang mengalami kecederaan.

“Semua sudah bersedia tidak kira siapa yang akan kita turunkan esok,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 8:11pm
d