arena

Armand, Arsh teruja uji jentera F4

Oleh Sukhairi Thani

Kuala Lumpur: Dua pemandu adik-beradik, Armand dan Arsh Johany teruja diberi peluang menguji jentera Formula 4 (F4), pengalaman pertama mereka selepas bergiat dalam arena go kart.

Pasangan adik-beradik ini merasai detik manis itu apabila pasukan Meritus.GP memanggil mereka untuk menjalani sesi ujian masa di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), baru-baru ini.

Armand, 18, berkata, dia berasa sedikit gementar untuk ‘menjinakkan’ jentera ini apatah lagi ini adalah kali pertamanya beraksi di SIC.

“Saya berada dalam sukan permotoran sejak tujuh tahun lalu, bermula dari tahun 2010 dalam bidang go kart. Bermula daripada kadet ke peringkat junior dan seterusnya senior.

“Minggu lalu, saya menerima pelawaan untuk melakukan ujian dalam F4. Jadi sudah tentu saya amat gembira dan sedikit gementar kerana jentera F4 dan go kart sememangnya berbeza, F4 lebih laju daripada go kart,” kata Armand.

Sementara itu, adiknya, Arsh yang pernah menjuarai kejohanan Rotax Kadet Malaysia dan Asia 2013 sebelum muncul naib juara dua kali di peringkat Malaysia dan Asia pada 2016 dan 2917 berkata, perasaannya turut sama sepertinya abangnya.

“Gementar kerana daripada kecil hanya bawa go kart,” kata Arsh yang menjadikan pemandu Formula 1 (F1) daripada pasukan Red Bull Racing, Max Verstappen sebagai idolanya.

Disiarkan pada: February 8, 2018 @ 8:32am
d