arena

Harimau Kumbang tak boleh tidur lena

Oleh Rodly Fadly

Kuala Lumpur: Kemenangan 2-1 ke atas UKM FC petang kelmarin memberi petanda baik kepada kebangkitan Pulau Pinang musim ini namun Faiz Subri mengingatkan bahawa mereka belum boleh tidur lena.

Faiz antara ‘muka lama’ yang dikekalkan jurulatih, Zainal Abidin Hassan dalam skuad berwajah baru musim ini berkata, masih banyak ranjau yang perlu ditempuhi bagi memenuhi hajat kembali ke Liga Super musim depan.

“Saya dapat melihat peningkatan Pulau Pinang berbanding musim lalu terutama dalam perlawanan menentang UKM semalam.

“Permainan kami sangat berbeza jika dibandingkan dengan perlawanan pertama menentang UiTM yang mana kami kalah 1-3.

“Pada perlawanan semalam, kami beraksi dengan lebih bersemangat serta membentuk persefahaman yang baik sepanjang permainan,” kata Faiz.

Pemenang anugerah Puskas 2016 itu berharap kemenangan semalam mampu melonjakkan keyakinan serta semangat pasukan untuk memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

“Ia baru kemenangan pertama, kami belum boleh tidur lena kerana masih banyak perlawanan. Begitupun saya yakin jika komitmen, kesungguhan serta momentum perlawanan semalam dapat dikekalkan, Pulau Pinang boleh pergi jauh musim ini,” katanya.

Kemenangan ke atas UKM dicapai melalui dua jaringan Azinee Taib (m-24, 74) sambil dibalas Faidzol Fazreen Shamsudin bagi pihak lawan, dua minit sebelum wisel penamat.

Skuad kendalian Zainal itu dijangka berdepan cabaran lebih getir apabila bakal bertemu FELDA United di gelanggang lawan pada 12 Februari.

“FELDA sebuah skuad mantap dengan dibarisi pemain berpengalaman. Ia satu tugas berat untuk Pulau Pinang tapi kami perlu fokus serta percaya kepada kemampuan sendiri,” ujar Faiz.

Disiarkan pada: February 8, 2018 @ 9:12am
d