arena

'Kami ada bukti' - Wan Mustaffa

Oleh Rizar Mohd Noor

UiTM FC akan mengemukakan bantahan secara rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap mutu pengadilan pada aksi Liga Perdana yang berkesudahan seri 2-2 dengan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam tadi.

Pengendali UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail berkata, bantahan itu bertujuan mempertikaikan jaringan Syafiq Ahmad pada minit ke-14 yang jelas berada dalam keadaan ofsaid namun pengadil, Muhammad Nasruddin Tamrin membenarkan jaringan yang dihasilkan penyerang JDT II itu.

"Kami akan membuat bantahan rasmi terutama gol yang dihasilkan pada minit ke-14 dan kami ada bukti menerusi rakaman video dan akan membawa bantahan kepada FAM dan ia langkah bagi mengelak nasib dialami UiTM FC tidak menimpa pasukan lain.

"Pengadil sepatutnya lebih bersiap sedia dan fokus untuk mengadili perlawanan namun agak mengecewakan selepas penolong pengadil tidak membantu pengadil dalam perlawanan itu," katanya.

Mengulas mengenai kebangkitan skuad The Lion Troops tatkala ketinggalan 2-0 namun mampu mengikat keputusan seri 2-2, Wan Mustaffa jelas gembira dengan kesungguhan pemainnya yang tidak kenal erti kekalahan.

Katanya, walaupun pada penghujung perlawanan hanya beraksi dengan lapan pemain tatkala Dechi Marcel dilayangkan kad kuning kedua manakala seorang pemainnya mengalami kecederaan namun mereka berjaya mencipta gol penyamaan pada minit akhir perlawanan.

Beliau menambah walaupun JDT II diperkuatkan dengan beberapa pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang beraksi pada perlawanan itu tetapi ia tidak memberi kesan kepada barisan pemainnya yang memperagakan aksi terbaik dan sekurang-kurangnya mempelajari sesuatu apabila berdepan pemain yang berkualiti.

"Pemain saya mampu memberi saingan apabila berdepan pemain berkualiti dan mereka dapat belajar cara untuk berdepan dengan pemain berpengalaman dan saya bangga dengan komitmen setiap pemain.

"Kelibat pemain import saya seperti Lucas Pugh tidak mendapat umpanan yang baik daripada rakan sepasukan dan sebab itu dia agak tenggelam manakala Dao Bakary memerlukan sekurang-kurangnya dua atau tiga perlawanan lagi untuk menyesuaikan diri," kata Wan Mustaffa.

Disiarkan pada: February 8, 2018 @ 1:39pm
d