arena

Bapa borek anak rintik...

Oleh Eurosport.com/Susunan Esme Jo

SEBASTIAN Montoya, anak kepada bekas pelumba Formula Satu (F1), Juan Pablo Montoya terpilih menyertai Akademi Pemandu Ferrari.

Pembuat Supercar Itali itu menyenaraikan pemandu berusia 12 tahun itu yang bertarung pada perlumbaan penuh musim karting di Eropah tahun lalu untuk diserapkan ke dalam program mereka tahun ini.

Sebastian akan berlumba kategori OKJ pada Kejuaraan Karting Eropah yang menjadi sebahagian program Tony Kart yang menampilkan 11 pelumba keseluruhan.

Menerusi kerjasama Tony Kart dengan Akademi Pemandu Ferrari, Montoya akan diberi latihan kemahiran memandu termasuk aspek sokongan luar litar seperti amalan diet dan tugas media.

Sebastian akan menyertai pemandu Sauber, Charles Leclerc, Giuliano Alesi, Antonio Fuoco dan Enzo Fittipaldi menerusi program FDA 2018.

Bapanya, Juan Pablo, berasal dari Colombia adalah bekas pemandu BMW Williams dan McLaren Mercedes.

Montoya, 42, juga adalah juara International Formula 3000 (1998), juara CART FedEx Championship Series (1999), pemenang Indianapolis 500 (2000) dan pemenang Race of Champions tahun lalu.

Dia meraih tujuh kemenangan karier dalam F1.

Disiarkan pada: February 8, 2018 @ 3:11pm
d