arena

Tiga sukan tetap digugur dalam sukan teras

Oleh Helmi Talkah

WALAUPUN sepak takraw, taekwondo dan angkat berat kembali dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak, namun ketiga-tiga sukan itu tetap digugurkan daripada senarai sukan teras Majlis Sukan Negara (MSN).

“Keputusan memasukkan kembali sukan berkenaan pada SUKMA 2018 tidak menjejaskan atau mengubah keputusan dasar bahawa ketiga-tiga sukan itu tetap digugurkan daripada senarai sukan teras MSN berasaskan keputusan mesyuarat jawatankuasa tertinggi dan lembaga pengurus MSN yang terdahulu.

“Penilaian sebagai sukan teras adalah melalui proses kriteria penilaian yang berbeza dan lebih menyeluruh berbanding pembabitan semula mereka ke temasya itu. Pengurusan MSN akan memantau pelaksanaan komitmen ketiga–tiga sukan itu dan akan dimaklumkan kepada Lembaga Pengurus MSN dari semasa ke semasa,” kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, mesyuarat jawatankuasa tertinggi SUKMA yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini memberi peluang kepada tiga sukan itu - sepak takraw, taekwondo dan angkat berat untuk dipertandingkan semula pada SUKMA 2018 Perak sebagai sukan pilihan.

Pada 18 Disember lalu, Lembaga Pengurus MSN yang juga dipengerusikan Khairy buat julung kalinya menggugurkan tiga jenis sukan teras itu sejak 2007 sekali gus memberi tamparan hebat buat sukan terbabit apabila tidak boleh dipertandingkan pada SUKMA.

Mesyuarat jawatankuasa tertinggi SUKMA 2018 membuat keputusan untuk memasukkan kembali tiga sukan itu pada SUKMA Perak 2018 sebagai sukan pilihan.

“Keputusan ini dibuat oleh jawatankuasa selepas mengambil kira beberapa faktor dan prihatin dengan permohonan serta rayuan Majlis Sukan Negeri yang mewakili penggiat sukan terbabit di peringkat akar umbi,” kata Shapawi.

Disiarkan pada: February 8, 2018 @ 9:39pm
d