arena

UniKL tak rela KLHC sekat hajat

Oleh Jugjet Singh

Kuala Lumpur: Skuad Universiti Kuala Lumpur (UniKL) beraksi di Liga Hoki Malaysia (MHL) sejak 2009 tetapi mereka tidak pernah berjaya ke mana-mana perlawanan akhir tetapi apa yang berlaku semalam bakal tercatat dalam sejarah kelab berkenaan.

UniKL menewaskan juara bertahan Piala TNB, Pasukan Hoki Terengganu (THT) 4-1 di separuh akhir pertama dan berjaya mengekang lawannya itu menerusi keputusan seri 2-2 pada pertemuan kedua sekali gus melayakkan mereka ke final pertama dalam tempoh sembilan tahun.

Mereka akan melayan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) di final yang dijadualkan berlangsung esok dan sasaran yang diletakkan di bahu setiap pemain ialah menjulang kejuaraan sulung.

KLHC tumbang 2-3 di tangan Tenaga Nasional pada separuh akhir pertama tetapi bangkit mencatat kemenangan 4-3 di pertemuan kedua bagi mengikat agregat 6-6. KLHC layak ke final menerusi penentuan penalti kalah mati 8-7.

Jurulatih UniKL, Arul Selvaraj gembira apabila pemainnya berjaya mengekalkan disiplin dan berharap persembahan sama dapat diulang bagi memastikan pasukan itu menjulang kejuaraan pertama di peringkat senior.

“Kami akan bermain tanpa sebarang tekanan dan kami sudah cukup gembira dapat layak sejauh ini,” kata Arul.

“Kami seronok. Jika menang, piala ini akan menjadi lambang kesungguhan pemain serta sokongan pengurusan yang selama ini tidak jemu memberikan perhatian.

“Saya percaya kami bangkit pada masa tepat dan pemain perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi KLHC kerana mereka adalah pasukan yang kuat.”

Ketika musim MHL disingkap, tidak siapa yang menyangka UniKL akan mampu ke final.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, ada kalanya ia bukan soal bagaimana anda bermula tetapi apa yang lebih penting ialah pengakhiran perjalanan anda.

“Kali ini, kami berharap dapat menamatkan saingan selaku juara Piala TNB,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 9:30am
d